Thursday, April 9, 2015

Tips - Tips Membentuk Keluarga Bahagia


Kebahagiaan Keluarga TANGGUNGJAWAB SIAPA?

"Aku terima nikahnya Mazlinah bt. Ghazali dengan mas
 kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunai!",
 lafaz seorang pemuda.

"Sah ?" , tanya Kadi. "Sah!" , ujar para saksi.

Dengan lafaz tersebut, terbentuklah sebuah keluarga baru.
Daripada berdua menjadi bertiga, kemudian berempat dan
mungkin lebih. Jika asalnya dara ataupun bujang,
telahpun bergelar ibu dan bapa. Jika diizinkan Allah,
mungkin sempat bergelar datuk ataupun nenek.
Pastinya setiap pasangan mahukan hidup yang lebih
tenteram dan bahagia daripada zaman berseorangan.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mengekalkan
kebahagian tersebut? Sebuah keluarga yang bahagia
terbentuk melalui niat sebelum membina rumahtangga.
Setiap pasangan sepatutnya menyedari tujuan perkahwinan,
iaitu untuk menjaga nama baik agama dan moral kehidupan.
Lantaran itu sebelum berumahtangga, Islam menyarankan
kita memilih calon suami atau isteri yang beriman.
Itulah kekuatan utama sebagai tunjang pembinaan keluarga.

Musibah yang besar akan nampak kecil, kehidupan keluarga
sentiasa tenang, tabah dan redha. Kebahagiaan terbentuk
apabila penghuninya mengamalkan ketaatan dalam beribadat
kepada Allah secara bersungguh-sungguh dan berusaha
untuk mencapai matlamat keluarga yang mendapat
keredhaan Allah.

Selain persoalan pokok dan asas pembentukan keluarga,
terdapat beberapa 'tips' untuk memastikan kesinambungan
kebahagiaan keluarga.

MEMBENTUK KELUARGA YANG BERILMU.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan, Dia telah
menjadikan manusia daripada sekepal darah. Bacalah kerana
Tuhanmu itu amat mulia, yang mengajar dengan [perantaraan]
kalam. Dia telah mengajar manusia apa yang mereka
tidak tahu". [ Al Alaq : 1 - 5 ]

Proses menimba ilmu hendaklah dibuat seawal mungkin dan
dilakukan berterusan. Ibubapa harus sentiasa berusaha
berfikir dan menanamkan serta membekalkan diri dan
anak-anak dengan ilmu yang menyeluruh, merangkumi
ilmu keduniaan dan ilmu keakhiratan. Dengan mempunyai
kedua-dua bidang ilmu tersebut, mereka akan dapat berfikir
secara bijaksaana serta dapat memilih jalan yang tepat
untuk mencapai matlamat hidup yang sebenar.

AMALAN BERKASIH SAYANG SEKELUARGA.

Dari an Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma,
katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Perumpamaan kaum Mu'minin dalam hal berkasih sayang,
saling mengasihi dan saling berbelas-belas laksana
satu badan. Jikalau salah satu anggota merasa sakit,
maka seluruh tubuh ikut merasa sakit dengan berjaga
malam dan merasa panas" [Muttafaq 'alaih]

Kasih sayang dapat dilahirkan melalui TINGKAHLAKU,
PERHATIAN (CARE), PENGORBANAN dan PERSEFAHAMAN.
Keikhlasan dalam berkasih sayang akan mewujudkan
rasa tanggungjawab dan perasaan hormat dan mengambil
berat antara satu sama lain.

Dalam kehidupan keluarga Rasulullah, yang sentiasa
menitik beratkan soal kasih sayang, Baginda sentiasa
melahirkannya dalam pergaulan seharian. Contohnya
panggilan manja untuk isterinya Aisyah, dengan panggilan
'Humaira'. Beliau juga kerapkali memeluk Hassan dan
Hussin cucu-cucunya apabila berjumpa.

MENGATUR DAN MENGURUS RUMAHTANGGA BERSAMA.

Bersepakat mengenai bentuk rumahtangga yang dikehendaki
merupakan proses yang membantu kerukunan dan kebahagiaan
rumahtangga. Setiap ahli keluarga berperanan dalam
melaksanakan tugas-tugas yang dapat melicinkan proses
pengurusan rumaktangga. Antara beberapa perkara yang
perlu diambil perhatian dalam melaksanakan tugasan
masing-masing ialah :

*BAHAGIKAN TUGAS mengikut minat dan kebolehan
masing-masing. Sekiranya suami berkebolehan bercucuk tanam,
tugas menguruskan tanaman di kawasan rumah adalah bahagiannya.
Begitu juga dengan anak-anak,masing-masing ada kecenderungan
tertentu. Yang pentingnya, pembahagian tugas hendaklah
sama rata, dengan ibubapa sebagai kudwah utama dalam
melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

*LAKUKAN BERSAMA-SAMA. Dengan konsep berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing, kerja rumah yang dibuat lebih
merupakan satu daripada aktiviti keluarga daripada tugas
yang dilihat sebagai beban.

*ELAKKAN MENGKRITIK antara satu sama lain.Sikap mengkritik
hanya membuat seseorang tidak berminat dengan tugas yang
dibuat. Bersabarlah dengan kesilapan yang kecil, sedangkan
tugas yang besar telah dilakukan. Katakanlah suami mengemas
bilik, tetapi kain cadar katil tidak begitu licin. Jangan
terus mengkritik sebaliknya ucapkan kata-kata penghargaan
kerana mengemaskan bilik. Ini akan merangsangnya terus
mengemas dan membantu ahli keluarganya yang lain.

*JANGAN PAKSAKAN SESUATU TUGAS.Dalam membahagikan kerja rumah,
ahli-ahli harus berlapang dada Jangan mengikat diri dengan
peranan yang dikaitkan dengan identiti jantina. Jika anak
lelaki berminat mencuci pinggan mangkuk, serahkan tugas
tersebut kepadanya.

*KERJA RUMAH BUKAN BEBAN. Pastikan semua ahli keluarga
mempunyai masa untuk bersama dan berehat. Jangan memaksa
diri melakukan kerja rumah jika ada pilihan lain.
Sesekali apa salahnya membeli makanan di luar.
Yang pentingnya, kerja rumah tidaklah menghantui kehidupan
ahli-ahli keluarga.
PENYELESAIAN MASALAH

Masalah merupakan satu halangan, cabaran dan dugaaan yang
akan menganggu kelancaran rancangan dan kehidupan.
Belajarlah berfikiran positif dan elakkan daripada
membayangkan sesuatu yang negatif. Segala masalah yang
timbul dalam keluarga ada hikmah yang tersendiri Berbaik
sangkalah dengan Allah dan berfikirlah perkara yang berkaitan
dengan masalah yang ada untuk mencari jalan penyelesaian.
Insya Allah segalanya akan menemui jalan kebaikan sekiranya
didasari oleh empat perkara asas,
iaitu Sabar, Taqwa, Amanah dan Redha.

Demi menjayakan sesebuah institusi keluarga yang bahagia,
sesebuah keluarga perlu dapat menangani persoalan
mengenai perkahwinan dan rumahtangga dengan lebih bijak
dan berkesan. Sama-samalah kita berusaha mempertingkatkan
keilmuan samada yang berbentuk teori ataupun pengalaman,
insya Allah. Amin.

SEMOGA BERMANFA'AT-

CINTA : Semoga tip membentuk keluarga bahagia ini dapat membantu anda yang ingin berumah tanggan ataupun sudah berumah tangga kerana kejayaan itu datang rumah tangga yang bahagia.



No comments:

Post a Comment