Friday, April 17, 2015

9 Ciri Keunggulan Suami Teladan



Islam telah menetapkan sistem yang syumul lagi lengkap, pada setiap urusan kehidupan, sehingga mencakupi hal berkaitan kehidupan berumah-tangga. Kesyumulan Islam ini tidak memungkinkan timbulnya sebarang pertikaian atau ketidak-puasan antara kedua belah pihak, setelah Islam menyempurnakan antara kedua mereka segenap tanggung-jawab dan hak-hak antara mereka. Meskipun timbul beberapa pergeseran atau salah faham dalam rumah-tangga, itu bukan berpunca dari pincangnya manhaj yang telah dikemukakan oleh Islam, tapi kerana kita sendiri yang gagal menerapkannya di dalam kehidupan yang sebenar. Untuk menjamin kesejahteraan hidup berumahtangga, ada beberapa garis-panduan yang telah ditetapkan oleh al-quran dan sunnah Rasulullah. Imam Al-Ghazali telah mengggariskan beberapa adab-adab yang perlu dilaksanakan untuk memenuhi ciri-ciri suami unggulan. Antaranya ialah seperti berikut:



1. MAJLIS PERKAHWINAN.... Antara adab pertama ialah si suami hendaklah mengadakan majlis perkahwinan dengan adab-adab yang murni serta mengelakkan pembaziran yang tidak diingini, sesuai dengan kemampuan yang ada. Rasulullah pernah bersabda di dalam riwayat Tarmizi : Memberi makan pada hari yang pertama adalah wajib (wajib diadakan dan wajib dihadiri) memberi makan pada hari yang ke dua adalah sunnah (suatu yang tidak ditegah, dan hukum menghadirinya adalah sunnah) dan memberi makan pada hari yang ketiga adalah sum'ah (riya' serta menunjuk-nunjuk) Wajibnya mengadakan jamuan dan menghadirinya pada hari yang pertama adalah di sisi mereka yang berpendapat walimah atau mengadakan kenduri perkahwinan itu wajib atau sunnah muakkad. (Sila lihat sunan Tarmizi) Demikian juga sunnat mengisytiharkan perkahwinan, dan tiada salahnya bergembira dan berseronok dengan nyanyian dan pukulan gendang, asalkan adab-adabnya terpelihara. Rasululullah bersabda: Bezakan antara halal dan haram (maksudnya lelaki dan perempuan halal setelah berkahwin) dengan suara (nyanyian yang diharuskan, zikir atau ucapan tahniah) dan pukulan gendang. Demikian juga sabda Rasulullah: Isytiharkan perkahwinan, adakanlah di masjid dan pukullah gendang. Demikianlah saranan Islam ketika mengadakan keramaian di hari perkahwinan. Digesa agar mengisytiharkan perkahwinan kedua mempelai yang berkenaan, di samping mengadakan jamuan makan dengan menjemput tetamu untuk berkunjung sekadar kemampuan yang ada, serta jauhi pembaziran yang tidak diingini. Demikian juga tidak ditegahkan mengadakan hiburan yang menepati kehendak agama serta terpelihara dari campur gaul yang jauh dari adab sopan dan tatasusila.



2. BERAKHLAK BAIK TERHADAP ISTERI........ Islam menggesa si suami agar berurusan dan bermuamalah bersama isteri dengan adab yang baik, memandangkan pertimbangan akal kaum wanita dianggap kurang berbanding kaum lelaki. Allah befirman di dalam al-quran : Gaulilah mereka dengan adab yang baik. Ini merangkumi tutur kata yang lunak, bersikap adil bersama isteri sekira si suami berpoligami, memberi nafkah, bermesyuarat dengan isteri dalam urusan rumahtangga, menutup kelemahan isteri dan lain-lain lagi. Islam juga menegah suami mengambil semula pemberian mahar yang telah diserahkan kepada isteri yang pertama, sekiranya ia berhasrat mengahwini isteri yang kedua, sebagai satu penghormatan kepada kaum wanita. Allah berfirman : Dan sesungguhnya mereka (isteri isteri kamu ) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam adalah teladan yang paling baik. Meskipun baginda membolehkan memukul isteri setelah nasihat dan memulaukannya di tempat tidur tidak berkesan, namun Baginda tidak pernah memukul isterinya. Islam mengharuskan suami memukul isteri dengan pukulan ringan yang tidak menyakitkan walaupun ke atas bayi, sekadar amaran, agar si isteri tidak mengulangi kesilapannya. Islam telah menetapkan garis panduan yang cermat berkaitan keharusan memukul, agar tidak mendatangkan mudharat lain yang tidak diundang, seperti menegah memukul bahagian muka serta jangan memukul dengan pukulan yang mencederakan. Pukulan ini juga dibenarkan setelah isteri dipisahkan tempat tidur dan masih belum bersedia untuk mengubah tabiat buruknya. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam juga pernah menyatakan di dalam hadis Baginda, agar kita berlemah lembut melayani wanita dan jangan mengasari mereka : Wahai Anjasyah, perlahan sedikit memacu unta kerana yang menunggang sekarang adalah bekas kaca (wanita yang sifatnya lembut) Demikianlah Rasulullah mengumpamakan kelembutan wanita. Sekiranya si suami tidak bijaksana nescaya, banyak kecelakaan yang tidak diduga akan menimpa, bahkan sampai tahap runtuhnya rumah tangga.


3. MERA'IKAN PERASAAN ISTERI......... Rasulullah sentiasa menjaga perasaan para isteri Baginda yang mulia dan pandai menambat hati mereka dengan bergurau senda dan bermesra. Rasulullah menggesa para suami agar bijak menyesuaikan diri, ketika berada di samping isteri. Rasulullah bersifat keanak-anakan ketika berada di samping isteri Baginda, meskipun Baginda seorang pahlawan yang handal di medan jihad. Sememangnya wanita suka dimanjai dan dibelai. Rasulullah menghendaki para suami agar pandai meletakkan taraf dirinya sedarjat dengan isteri, untuk mengelakkan rasa canggung dan janggal ketika bersama isteri. Pernah diriwayatkan dalam sunan Abu Daud dan Al-Nasa'ie, Rasulullah berlumba lari dengan isteri Baginda Saidatina Aisyah, meskipun Rasulullah pesuruh Allah yang sibuk dengan urusan menyebarkan dakwah dan berjuang di medan jihad, namun Baginda masih ada kelapangan untuk bermesra bersama isteri Baginda dan ini bukanlah suatu yang menyalahi etika. Rasulullah bersabda di dalam riwayat Tarmizi dan Muslim : Mukmin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan paling berlemah lembut bersama isterinya. Islam menggambarkan mukmin yang paling sempurna ialah mereka bijaksana melayani isteri dan berbudi pekerti mulia. Satu contoh petunjuk Rasul yang menggambarkan Baginda beradab sopan bersama isteri Baginda ialah hadis yang diriwayat oleh Ibn Abi Dunya, Saidatina Aisyah memberitahu bahawa segala urusan dan perlakuan Baginda amat menakjubkan, sehingga diriwayatkan, ketika Baginda bersama isterinya pada suatu malam dan telah bersentuhan kulit, Baginda meminta izin dari isterinya Aisyah untuk beribadat menemui tuhannya. Demikianlah adab Rasul bersama isteri Baginda, meminta izin untuk meninggalkannya meskipun untuk bertemu Tuhannya.



4. BERSEDERHANA PADA SIFAT CEMBURU (prihatin)........ Apa yang dimaksudkan dengan cemburu di sini ialah keprihatinan melampau si suami terhadap tindak-tanduk isteri dan terlalu mengawasi gerak langkahnya. Islam menegahkan keterlaluan dan melampau dalam menjejaki tindak-tanduk isteri dan sentiasa menghidu segala kesilapan dan kepincangannya. Islam menegah kita merisik-risik atau mengintip keaiban isteri, sehingga tertanam rasa buruk sangka terhadap isteri dan terlalu mengorek rahsia yang tersembunyi. Saidina Ali pernah berkata : Janganlah kamu terlalu cemburu terhadap isteri kamu sehingga melemparkan prasangka buruk terhadapnya. Kita juga digesa menasihati isteri dengan penuh hikmah dengan tutur-kata yang benar-benar berkesan. Jauhi sifat menengking dan mengherdik isteri; dan ini sememangnya sifat yang sangat tercela. Ada dinyatakan pada khabar yang masyhur : Wanita ibarat tulang rusuk yang bengkok, sekiranya kamu cuba untuk meluruskannya, nescaya ia akan patah. Manakala sifat cemburu atau prihatin yang kena pada tempatnya adalah suatu yang terpuji dan digesa oleh syara', seperti sentiasa prihatin mengawasi isterinya agar sentiasa menutup aurat, menundukkan pandangan, menjaga batas pergaulan, menjaga kehormatan diri dan lain-lain lagi. Rasulullah pernah bersabda : Sesungguhnya Allah bersifat cemburu dan mukmin juga bersifat cemburu, Allah sangat cemburu (sensitif) jika seorang mukin itu mendatangi perkara yang diharamkan-Nya.



5. BESEDERHANA MEMBERI NAFKAH....... Besederhana dalam memberi nafkah terhadap isteri bermakna tidak terlalu bakhil dan tidak pula terlalu boros. Perkara yang paling baik ialah yang pertengahan. Allah berfirman dalam al-quran pada surah Al-A'raf : 31, Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Demikianlah Islam mendidik para hambanya. Islam tidak menghalang fitrah hambanya yang sukakan keindahan dan kecantikan, Islam tidak melarang memakai pakaian yang cantik asalkan kita sanggup menjaga batas-batas yang digariskan oleh syara' dan tidak membazir. Dan firman Allah dalam surah al-Isra' : 29, Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. Apa yang digesa oleh syara' ialah berpatutan dalam membelanjakan nafkah sesuai dengan keperluan keluarga.



6. MEMBERI PENDIDIKAN YANG SEMPURNA......... Si suami juga perlu memastikan si isteri mendapat pendidikan yang sempurna, demi mengelakkan berlakunya kepincangan dalam rumah tangga dan keretakan yang tidak diduga. Si isteri adalah orang yang paling rapat dengan anak anak, berbanding suami yang sering keluar rumah untuk mencari rezeki dan nafkah menanggung keluarga. Jika si isteri jahil dan tiada pengetahuan, bagaimana ia mampu untuk mendidik anak-anak dengan didikan dan adab-adab yang sempurna. Ibulah orang yang paling berkesan mendidik anak-anak semenjak kecil, bak kata pepatah : Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Meskipun anak-anak boleh belajar di sekolah, namun berapa ramai guru yang mampu melahirkan pelajar berakhlak melainkan sekadar memberi pengajaran secara teori. Ibu pendidik sebenar anak-anak dan merekalah yang lebih akrab bersama anak-anak. Si isteri juga perlu mengetahui hukum-hakam agama seperti bersuci, bagaimana melayan suami, hukum-hakam sembahyang, berpuasa, zakat, haji, hak-hak jiran tetangga, anak anak yatim, orang miskin dan lain-lain lagi. Si suami juga adalah orang yang paling bertanggung-jawab menyelamatkan diri dan ahli keluarganya dari api neraka.



7. BERADAB MENGGAULI ISTERI ...........Sebelum si suami menggauli isterinya (berjima') Islam menyarankan agar dimulakan dengan membaca Bismillah… serta membaca surah al-Ikhlas dan doa-doa yang lain. Demikian juga disunatkan melakukan hubungan suami isteri pada malam Jumaat, sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam. Rasulullah juga menegah suami hanya mementingkan diri sendiri dalam melalakukan hubungan seks sehingga mengabaikan kepuasan isteri, sebaiknya si suami bijaksana membangkit syahwat isteri sehingga kedua-duanya bersama merasai puncak seks. Islam juga menegah suami menggauli isteri ibarat haiwan, yang melampaui batas-batas kemanusiaan. Demikianlah kehebatan Islam dalam mengatur kehidupan penganutnya sehingga perkara yang menyangkut hubungan suami isteri turut dinyatakan garis panduannya, untuk menjamin kebahagiaan hidup muslim. Islam juga menganjurkan si suami menggauli isteri selang empat hari sekali dan inilah yang paling sederhana. Islam menegah suami mendatangi isteri ketika haidh dan sebelum mandi hadas, kerana bahaya kotoran yang terkandung pada diri wanita, yang tidak perlu dinyatakan di sini. Ahli sains telah mengakui darah kotoran tersebut boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kelamin. Selepas mengauli isteri disunatkan berwudhu sebelum tidur dan juga sebelum makan.

8. TIDAK MEMBOCORKAN RAHSIA ISTERI........ Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam memuliakan rahsia kehidupan suami isteri, serta menghormati rahsia isteri dalam hubungannya bersama suaminya. Diriwayat oleh Imam Ahmad dan Muslim, bahawa satu perbuatan yang sangat tercela ialah lelaki yang menyebarkan rahsia hubungan bersama isterinya kepada orang lain. Hubungan suami isteri adalah rahsia peribadi kehidupan rumah tangga yang perlu dipelihara dan juga melibatkan soal maruah.


9. KESETIAAN .......Antara kemurniaan dalam kehidupan berumah-tangga ialah kesetiaan. Kita boleh meneladani bagaimana kesetiaan Rasul terhadap Khadijah, meskipun Baginda telah mengahwini Aisyah yang jauh lebih muda daripada Khadijah. Ketika seorang tua yang bernama Juthamah Al-Muzaniah pernah datang menemui Rasul, Aisyah bertanya kepada Rasul siapakah wanita tersebut, yang membuatkan Rasul menyambutnya sedemikian rupa. Rasul menjawab : Wanita itu pernah datang ketika aku hidup bersama Khadijah. Lantas Aisyah berkata : Tiada wanita yang paling aku cemburui di kalangan wanita di alam maya ini melainkan Saidatina Khadijah. Rasulullah sering mengingati Khadijah, sehingga Aisyah mengeluh dengan berkata, seakan tiada wanita lain di dalam dunia ini melainkan Khadijah. Lantas Rasulullah menjelaskan kepada Aisyah : Khadijah adalah wanita yang sangat mulia dan bijaksana. Dia beriman denganku di saat semua manusia kufur denganku, ia membenarkan kata-kataku ketika semua manusia mendustaiku, ia meredakanku dengan hartanya ketika kaum kafir menyekatku. Rasulullah
dikurniakan anak ketika bersama Khadijah, dan kesemua anak Rasulullah adalah dari benih Khadijah. Rasulullah juga memperolehi segala-galanya bersama Khadijah dan Baginda tidak mengahwini wanita lain,selama Baginda bersama Khadijah, kecuali setelah Khadijah dijemput Tuhan, barulah Rasulullah mengahwini Saidatina Aisyah. Ini semualah yang menyebabkan ingatan Rasul terhadap Khadijah terlalu kukuh, sehingga membuatkan Aisyah merasa cemburu. Demikianlah Rasulullah menghargai ikatan yang pernah ditautkan bersama Khadijah, selama sekitar 25 tahun hidup sebumbung dengannya serta mengingatinya, meskipun Rasulullah telah mengahwini Aisyah yang jauh lebih muda, dan ini semua tidak mampu untuk mengikis ingatannya terhadap Khadijah. Demikianlah agungnya erti sebuah kesetiaan.Inilah antara ciri-ciri unggulan suami teladan yang telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali serta ulama' lain sebagai kewajipan suami dalam memenuhi tuntutan kehidupan berumah tangga. Sekiranya kesemua ciri-ciri ini berjaya dilaksanakan, nescaya kehidupan aman tenteram dan jauh dari segala unsur-unsur yang boleh merenggangkan hubungan suami isteri serta menggugat keharmoniannya.


CINTA : 

Sumber Rujukan Utama :


1.Al-Usrah al-Muslimah - Dr. Abdul Hakam Al-Sa'idiy.


2.Asbab al-Sa'adah al-Zaujiyyah - Imam Al-Ghazali.


3.Adab al-Khitbah Wa al-Zifaf - Abdullah Naseh Ulwan.



No comments:

Post a Comment