Sunday, June 3, 2012

Zizan Juara Super Spontan Johan Putih Mata

Zizan tengah memegang piala kemenangan


MESKIPUN sebelum ini kedua-duanya sering digandingkan dalam program realiti Raja Lawak mahupun Maharaja Lawak, namun tidak pada rancangan Super Spontan yang menyaksikan mereka perlu bersaing sesama sendiri.
Sungguhpun begitu, sejak daripada awal Super Spontan ditayangkan lagi, baik Johan mahupun Zizan dilihat tidak mengambil peduli akan persaingan yang berlaku.


Sebaliknya, pasangan rakan baik yang cukup sinonim dengan panggilan Jozan ini dilihat masih lagi bekerjasama dan saling menyokong lawak yang dipersembahkan.

Tambahan pula, setiap kali dipertemukan dalam permainan yang diberikan, pastinya peminat akan bersorak dengan pertembungan pasangan ini sama seperti yang berlaku di pertandingan akhir Super Spontan.

Sejak awal rancangan bermula, kedua-dua pasangan ini menerima sorakan hebat daripada penonton setiap kali muncul mengadakan permainan.

Malah, sokongan peminat terhadap Jozan pula dapat dilihat daripada undian yang diberikan oleh peminat sejak awal rancangan lagi.

Malah, undian pasangan ini juga dilihat begitu jauh meninggalkan empat lagi rakan yang bertanding iaitu Tauke, Rahim, Ropie dan Suhaimi.

Dengan undian 48.7 peratus dan 45.4 peratus yang diterima oleh Zizan dan Johan, pasangan ini meninggalkan Tauke yang mendapat undian 3.3 peratus, Rahim 1.2 peratus dan Ropie serta Suhaimi menerima 0.8 peratus dan 0.4 peratus.

Kemenangan berpihak pada Zizan yang menyandang gelaran Juara Super Spontan sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, sebuah kereta Toyota Camry 2.0G beserta trofi .


Johan selaku naib juara

Sementara itu, Johan menerima gelaran Naib Juara Super Spontan dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 beserta trofi .

Tempat ketiga menjadi milik Tauke yang membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi .

Manakala, tiga pemenang saguhati; Suhaimi, Rahim dan Ropie masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi .

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh diiringi Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Dalam pertandingan akhir berlangsung di Studio Finas, Hulu Klang, setiap pemain perlu bersaing sesama sendiri dalam lima permainan disediakan iaitu Beku, Sketsa Dari Topi Puaka, Pilihan Lain, Ciptaan dan Laguku Untukmu.

Dalam pada itu, gelagat pengulas program iaitu kumpulan Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Amir Raja Lawak dan pengacara, Adibah Noor juga memeriahkan pertandingan pada malam itu.

Tauke pemenang tempat ketiga

Zizan anggap kemenangan Jozan

Sewaktu keputusan akan diumumkan, wajah Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak dilihat begitu sebak sehingga asyik memeluk rakan baiknya, Johan.

Mungkin berdebar-debar menunggu waktu diumumkan sebagai juara, anak kelahiran Dungun, Terengganu ini bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

Menurutnya, pengalaman melihat hasil undian dalam setiap pertandingan yang ada kalanya tidak boleh dijangka menyebabkan pelawak dan juga penyanyi rap ini tidak mahu berharap.

“Walaupun peratusan undian sejak awal rancangan memihak pada saya, namun saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana ia boleh berubah," katanya.

Dalam pada itu, Zizan turut memberitahu, kemenangan yang diterima itu bukan sahaja ditujukan kepada peminatnya tetapi juga kepada peminat Jozan.

Mengulas mengenai pertanyaan Amir ketika rancangan berlangsung menyatakan kemungkinan Jozan akan berpecah namun Zizan menganggap ia sebagai gurauan.

Malah, pelakon Mael Lambung ini sebenarnya beranggapan pertandingan akhir itu dimenangi oleh rakan karibnya.

“Secara jujurnya, sebelum mula pertandingan akhir ini saya dapat merasakan Johan yang akan menang.

“Namun, syukur Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Bagi saya, Johan tetap johan. Meskipun begitu, saya anggap kemenangan ini sebagai kemenangan Jozan bersama,” katanya yang mengakui begitu sebak sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang.



Johan memeluk Zizan tanda penghargaan

Tidak mahu dilagakan: Johan

Jika dilihat daripada awal episod Super Spontan lagi, kemunculan Amir sebagai watak antagonis dalam pertandingan itu berjaya ‘menghangatkan’ hati penonton.

Kehadiran Amir yang ada kalanya seperti melaga-lagakan pasangan Jozan bagaimanapun dilihat sebagai perkara positif oleh Johan sendiri.

Menurutnya, perkara itu hanyalah sebahagian daripada gurauan manja yang dilakukan oleh Amir untuk menghangatkan episod Super Spontan.

“Saya tidak anggap ada pihak cuba melaga-lagakan kami. Semua yang terjadi di dalam rancangan itu hanyalah sebagai hiburan semata-mata. Namun, orang luar sendiri boleh lihat bagaimana akrabnya hubungan saya dan Zizan,” katanya.

Menyentuh mengenai kemenangannya sebagai naib juara, suami kepada pelakon, Ozlyn ini akui meletakkan harapan di tangga kedua hingga enam.

“Jika memperkatakan mengenai undian SMS, saya langsung tidak terfikir untuk mendapat nombor satu.

Sebaliknya, saya hanya letak harapan daripada nombor dua hinggalah nombor seterusnya.

“Namun, saya berterima kasih kepada peminat yang menyokong saya baik daripada segi undian atau penonton yang hadir memberikan tepukan. Bagi saya, selagi peminat menyokong sebarang program yang saya sertai itu sudah memadai,” katanya yang menganggap antara saingan hebatnya ialah Zizan, Tauke, Rizman, Sathiya dan Bell Ngasri.
Berkumpul para pemenang Super Spontan

Super Spontan Musim Kedua

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai mengumumkan bakal meneruskan rancangan Super Spontan untuk musim kedua pada tahun hadapan memandangkan sambutan hangat penonton terhadap rancangan tersebut.

“Ketika Afdlin Shauki datang kepada saya dengan kertas cadangan Super Spontan, saya terfikir konsep seperti ini adalah program yang berbeza.

“Namun, kami pihak Astro masih belum dapat membayangkan konsep yang dinyatakan.

Tetapi setelah melihat program ini dari minggu pertama, kami benarbenar gembira melihat hasilnya.

Afdlin selaku orang kuat Super Spontan

Ternyata kini Super Spontan sudah menjadi sebutan,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin yang menjadi ‘orang kuat’ Vision Works memberitahu akan mencari idea lain yang boleh dimuatkandalam rancangan Super Spontan Musim Kedua.

No comments:

Post a Comment