Thursday, April 16, 2015

Perokok Digalak Makan Buah-Buahan Elak Kanser !!!


WASHINGTON - Pengambilan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko penyakit kanser paru-paru di kalangan perokok, menurut satu kajian yang disiarkan semalam.

"Walaupun berhenti merokok merupakan satu tindakan paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser paru-paru, pengambilan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko tersebut.
"Ia bergantung kepada jumlah pengambilan, terutamanya di kalangan perokok," kata H. Bas Bueno-de-Mesquita dari Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan yang berpangkalan di Belanda.

Kajian yang disiarkan di jurnal Persatuan Amerika untuk Penyelidikan Kanser, 'Cancer Epidemiology, Biomarkers & Prevention' itu, dibuat berdasarkan satu penyelidikan melibatkan lebih 450,000 individu di Eropah termasuk 1,600 yang dikesan menghidap kanser paru-paru.

Menurut penyelidik, kepelbagaian buah-buahan dan sayur-sayuan dilihat lebih penting berbanding kuantiti pengambilannya.

Dalam kajian tersebut, penyelidik mengkaji 14 jenis buah dan 26 jenis sayur yang biasa dimakan termasuk yang segar, di dalam tin atau dikeringkan.

"Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi sebatian bio-aktif berbeza, jadi kita boleh mengandaikan bahawa adalah penting untuk kita mengambilnya bukan sahaja dalam kuantiti yang disyorkan, tetapi juga mengambil pelbagai jenis makanan yang kaya dengan sumber bio-aktif ini," kata Bueno-de-Mesquita.

Kajian tersebut menyatakan, risiko pembentukan sel kanser 'squamous carcinoma' juga sebahagian besarnya terbantut apabila seseorang individu memakan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.

Ketika penyelidikan-penyelidikan terdahulu mengaitkan kuantiti pengambilan buah dan sayur terhadap perkembangan kanser, ahli lembaga penyunting 'Cancer Epidemiology, Biomarkers & Prevention', Stephen Hecht berkata, kajian terbaru itu merupakan yang pertama menilai kepelbagaian pengambilan buah dan sayur berbanding kuantiti yang pernah dibincangkan sebelum ini.

"Keputusannya sangat menarik dan menunjukkan satu kesan perlindungan kepada perokok. Terdapat berbilion perokok di luar sana yang kebanyakannya ketagih terhadap nikotin selain tidak boleh berhenti merokok walaupun mereka mencuba sedaya upaya," katanya. - AFP

CINTA : Kepada perokok tegar yang tidak mahu berhenti dari menghisap rokok adalah dinasihatkan untuk memakan buah-buahan dengan banyak bg mengelakkan daripada di timpa sakit.Amalan memakan buah-buahan lagi pun adalah amalan yang sihat untuk diamalkan setiap hari.

No comments:

Post a Comment