Tuesday, April 21, 2015

Berbual Telefon Bimbit Boleh Ubah aktiviti Sel Otak


CHICAGO - Berbual menggunakan telefon bimbit dalam tempoh 50 minit sudah cukup untuk mengubah aktiviti sel dalam bahagian otak kerana ia berada paling hampir dengan antena gajet tersebut.

Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) semalam menyatakan bahawa masih belum jelas sama ada ia mendatangkan kesan buruk kepada pengguna atau sebaliknya.

Jelas saintis, kajian yang mereka jalankan tidak melihat kebimbangan berulang tentang kaitan antara telefon bimbit dengan kanser otak.

"Apa yang kami tunjukkan adalah peningkatan metabolisme glukosa iaitu satu aktiviti otak pada individu yang terdedah terlalu lama kepada telefon bimbit di bahagian otak paling dekat dengan antena," kata Dr. Nora Volkow daripada NIH dalam kajiannya yang disiarkan dalam Jurnal Pertubuhan Perubatan Amerika.


Katanya, kajian itu dibuat bagi meneliti bagaimana reaksi otak kepada medan elektromagnet yang disebabkan isyarat telefon tanpa wayar.

Volkow berkata, beliau terkejut apabila mendapati radiasi radioaktif lemah dari telefon bimbit boleh memberi kesan kepada aktiviti otak, tetapi penemuan itu, katanya tidak menerangkan sama ada telefon bimbit boleh mengakibatkan kanser.
"Kajian ini langsung tidak menyentuh mengenai kanser otak.

"Ia hanya menunjukkan otak manusia sangat sensitif kepada radiasi elektromagnet akibat pendedahan kepada telefon bimbit," katanya.

Penggunaan telefon bimbit meningkat mendadak sejak ia diperkenalkan pada pertengahan 1980-an dan kini ia digunakan oleh kira-kira lima bilion individu di seluruh dunia.

Sesetengah kajian mengaitkan pendedahan kepada telefon bimbit dengan risiko kanser otak, tetapi sebahagian besar penyelidikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak memberikan sebarang kesimpulan tersebut. - Reuters

CINTA : Macam-macam kajian sekarang ni sampai berbual talifon pun boleh ubahkan sel otak

No comments:

Post a Comment