Tuesday, April 21, 2015

Antibodi Halang Tumor Kanser


CALIFORNIA - Sejenis antibodi yang dipercayai mampu membantu sistem imunisasi badan menghalang tumor kanser daripada membesar sedang dihasilkan oleh sekumpulan saintis.

Ia dikatakan berkesan merawat tujuh jenis kanser iaitu kanser payudara, usus, prostat, ovari, otak, hati dan urologi.

Melalui kajian terkini, antibodi itu juga dipercayai boleh digunakan bagi mencegah kanser darah dan sekiranya diberi pada peringkat awal, ia dikatakan mampu merawat kanser.

Penyelidik yang diketuai Dr. Irving Weissman dari Sekolah Perubatan Universiti Stanford di sini berkata, antibodi itu setakat ini sudah diuji pada tikus dan mereka berharap ia boleh diberi kepada pesakit kanser dalam masa dua tahun lagi.

"Keberkesanannya terletak pada kandungan protein yang dipanggil CD47, yang boleh ditemui dalam kuantiti yang banyak pada permukaan sel kanser," katanya.

Kajian makmal mendapati, apabila ia diberi pada tikus, antibodi itu mampu mengecutkan tumor dan dalam sesetengah kes menghilangkan terus ketumbuhan tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa protein CD47 boleh digunakan dan menjadi terapi yang baik untuk kanser yang menyerang manusia," kata Weissman.

Menurut beliau, apabila ubat tersebut digunakan pada tumor kecil, ia berpotensi memperbaiki masalah berkenaan.
Beliau turut menyatakan sesetengah daripada tikus yang dikaji tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Katanya, pihaknya ketika ini sudah memiliki bukti secukupnya untuk langkah seterusnya iaitu menguji keberkesanannya ke atas manusia.

Bagaimanapun, mereka memerlukan kajian mendalam bagi membuktikan antibodi tersebut selamat dan berkesan.

CINTA : Selamat membaca dan menambah ilmu pengehtahuan

No comments:

Post a Comment