Tuesday, May 1, 2012

Wawa gugat Lisa Surihani? - Cinta

MEMANG sudah tuah badan. Berbanding artis seusianya, laluan pelakon yang meningkat naik, Wawa Zainal ternyata cukup mudah untuk mencari tapak di persada hiburan tanah air.

Meniti usia 20 tahun dengan pembabitannya lebih setahun dalam bidang seni, pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah yang juga pemilik nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin dan bernaung di bawah payung pengurusan MIG ini sudah mendapat kepercayaan daripada ramai pengarah untuk beraksi sebagai teraju utama dalam filem.

Lebih membanggakan, Wawa juga beraksi sebagai teraju utama dengan aktor popular Shaheizy Sam dalam filem Kisah Paling Gangster dan Aeril Zafrel dalam filem 99 Kali Rindu. Manakala dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu dia memegang watak pembantu yang tidak kurang pentingnya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Seram Sejuk, Sumpahan Kum Kum, 3 Temujanji, Budak Pailang, Aji Noh Motor dan Hantu Dalam Botol Kicap.

Secara peribadi, Wawa yang mula diperkenalkan menerusi drama Klik dan dikenali ramai menerusi watak Bunga dalam drama bersiri Ana Lu'Lu mengakui, dia berlakon bersandarkan minat yang cukup mendalam dalam bidang lakonan, sejak di bangku sekolah lagi.

"Mungkin orang tidak tahu, saya banyak menyertai pelbagai pertandingan sketsa dan pementasan peringkat sekolah dan Daerah Lahad Datu pada zaman persekolahan dulu. Menyedari minat saya itu, guru dan kawan-kawan sekolah juga memberi galakan pada saya untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

"Justeru, selepas adik saya terbaca mengenai uji bakat anjuran MIG di Internet, saya terus memberanikan diri menghantar resume dan menghadiri uji bakat dengan ditemani abang di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Syukur, rezeki juga berpihak pada saya untuk menjadi artis MIG bermula Ogos 2010," katanya.
Anak kelapan daripada sebelas adik-beradik yang dilahirkan tanggal 12 Februari 1992 ini turut berlakon dalam drama bersiri iaitu Impian Raya Emelyn, Cintaku 120km/j, Cinta Buat Emelda dan Bunga-Bunga Syurga yang ditayangkan di TV3. Terbaru, dia sibuk di lokasi penggambaran drama arahan Azmi Hatta berjudul Cahaya Iman.

Pelakon jelita yang mengagumi Erra Fazira, Que Haidar, Nurkhiriah dan Wan Maimunah berkata, keluarga adalah pembakar semangatnya untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

"Saya berlakon dengan restu dari keluarga. Justeru, walaupun berjauhan dan hidup berdikari di Kuala Lumpur, saya pastikan sentiasa pandai menjaga diri di tempat orang dan tidak hanyut dalam dunia glamor kerana sedar usia yang masih muda remaja.

"Saya juga sentiasa berhubung dengan keluarga, dan setiap kali dapat cuti, saya akan pulang ke Sabah untuk bertemu keluarga.

Selain itu, saya sentiasa ditemani dan pergerakan juga diawasi pihak pengurusan MIG bila keluar rumah atau ke pusat membeli belah," katanya.

Wawa ditemui di majlis pelantikannya sebagai wajah baru Lipice di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar Lipice, Lim Mei Yuen.

Bagaimanapun, pelakon jelita yang pernah digosipkan dengan Sam ini juga tidak dapat mengelak bila didekati golongan VIP yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi di luar sana.

"Saya tidak menafikan memang ada golongan VIP yang menghubungi dan mengajak untuk keluar minum tapi saya menolaknya secara baik.

"Saya juga menganggap mereka sekadar peminat saja dan ia adalah perkara biasa dalam dunia artis yang tidak dapat lari daripada diminati golongan VIP.

"Buat masa ini, fokus saya adalah untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan kerana banyak filem lakonan yang belum dinilai peminat lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment