Friday, April 17, 2015

USM Hasilkan Bahan Asas Untuk Ubat Jantung


MASALAH penyakit jantung sering menghantui kita kerana ia antara pembunuh nombor satu di negara ini. Bagaimanapun, teknologi perubatan yang semakin canggih, khususnya pembedahan dapat membantu mencipta kaedah-kedah rawatan yang sekali gus memberi khabar gembira kepada pesakit.

Tersenarai dalam kelompok penyelidik yang berjaya membantu rawatan penyakit jantung ialah sekumpulan saintis Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang mencipta bahan asas untuk menghasilkan ubat mengurangkan sakit jantung.

Penyelidikannya dijalankan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Profesor Abdul Latif Ahmad dan dibantu dua penyelidik, Oh Peng Ching dan Dr. Syamsul Rizal Abdul Shukor sejak empat tahun lalu.

Menurut Abdul Latif, penyakit kardiovaskular digolongkan sebagai pembunuh nombor satu di dunia, dengan meragut 17 juta nyawa setiap tahun.

Adalah dianggarkan bahawa setiap satu daripada tiga orang di seluruh dunia meninggal akibat strok atau serangan jantung.

Ini menyebabkan perkembangan ubat perencat ACE sebagai rawatan terapi yang piawai.

Penyelidikan tersebut menumpu kepada penghasilan L-homophenylalanine yang merupakan ubat perantaraan perencat ACE.

Bahan L-Homophenylalanine, yang fungsinya sebagai bahan asas dalam ubat berkenaan, gabungan teknik biorektor membran dan enzim.

Sintesis L-homophenylalanine merupakan sejenis ubat perantaraan untuk merawat penyakit kardiovaskular melalui bioreaktor membran bersepadu.

Menurut Abdul Latif, L-homophenylalanine merupakan ubat perantaraan kiral yang digunakan untuk mensintesis perencat penukar enzim angiotensin (perencat ACE), sejenis ubat kardiovaskular.

''Terdapat beberapa cara untuk mensintesis L-homophenylalanine, antaranya termasuk kaedah kimia atau kaedah biopemangkinan.

"Kaedah kimia secara umumnya adalah lebih rumit, melibatkan kos tinggi dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar,'' katanya.

Kaedah biopemangkinan adalah lebih stereo tentu, boleh mengelakkan penggunaan bahan kimia yang berbahaya serta keadaan tindak balas yang ekstrem.

Dengan itu, sintesis L-homophenylalanine dijalankan melalui kaedah biopemangkinan, terutamanya secara sintesis tak simetri.
Menurutnya lagi, bahan L-Homophenylalanine bukan bahan baru tetapi telah berada di pasaran sejak sekian lama.

Bagaimanapun harganya mahal sehingga mencecah RM11,000 per gram.

Katanya, penyelidikan tersebut ini menghasilkan sistem bioreaktor membran bersepadu untuk pengeluaran L-homophenylalanine

Sistem membran bioreaktor bersepadu membolehkan tindak balas serta proses pemisahan berlaku secara in situ.

Sistem tersebut juga dilengkapi sistem dos automatik, melibatkan keadaan tindak balas yang sederhana serta menyokong teknologi hijau.

Sistem bersepadu itu turut memberi faedah dari segi kos disebabkan oleh integrasi antara tindak balas dengan proses pemisahan yang mengurangkan peralatan pemprosesan.

Penyelidikan tersebut yang dimulakan pada tahun 2006 dan siap pada tahun 2009 ditaja oleh Geran Universiti, Skim Penyelidikan Universiti serta National Science Fellowship.

Anggaran kos akhir segram produk adalah sebanyak RM 2,500.00, jauh lebih murah jika dibandingkan dengan produk import yang boleh menjangkau RM10,000.00 segram.

Matlamat akhir penyelidikan ini adalah untuk menghasilkan ubat kardiovaskular yang lebih murah dan mudah diakses untuk kegunaan orang ramai.

Kata Abdul Latif lagi, bahan perantara itu berpotensi untuk dikomersialkan dan sistem tersebut boleh dihasilkan pada skala besar-besaran, sama ada pengeluaran secara bersiri atau selari.

Sistem bioreaktor membran bersepadu itu mempunyai reka bentuk yang kompak, sistem pemantauan dan strategi kawalan automatik, boleh mengeluarkan produk yang berkualiti serta melibatkan kos operasi yang lebih rendah.

Produk L-homophenylalanine yang dihasilkan boleh dijual kepada industri farmasi atau institut penyelidikan.

CINTA : Selamat membaca sedikit info mengenai penyakit jantung dan ubatannya

No comments:

Post a Comment