Friday, April 17, 2015

Ubah Salah Anggap Tentang HIV Dan AIDS

Di negara kita, walaupun sudah banyak pendedahan mengenai HIV/AIDS sejak 1986, masih ramai yang mempunyai tanggapan salah dan pandangan serong terhadap individu dijangkiti virus HIV. Ramai menyangka HIV dan AIDS adalah masalah orang lain - penagih dadah, pelacur, golongan homoseksual atau individu yang kerap bertukar pasangan dan tidak akan berlaku pada kita.

Tanggapan ini perlu diubah kerana kini semakin ramai, terutama golongan remaja yang mengadakan hubungan seks di luar ikatan perkahwinan, dan tidak mustahil salah seorang daripada mereka menjadi pasangan hidup anda, anak atau ahli keluarga anda kelak. Inilah antara sebab bakal pengantin diwajibkan menjalani ujian HIV bagi mengelakkan jangkitan terus berleluasa.

HIV dan AIDS bukan masalah orang dewasa saja kerana pada 2006, dianggarkan 2.3 juta remaja berusia bawah 15 tahun di seluruh dunia dijangkiti HIV. Di negara kita, 36.4 peratus kes (27,837 kes) menimpa golongan muda berumur 13 hingga 29 tahun dan 0.9 peratus kes pula membabitkan kanak- kanak bawah umur 13 tahun (statistik 2006).

Statistik Kementerian Kesihatan mencatatkan, sehingga Jun 2007, 78,784 kes jangkitan HIV dilaporkan sejak 1986 dan kes paling banyak dilaporkan di Johor (14,600) diikuti Selangor (11,859); Kelantan (9,891); Pahang (9,036); Terengganu (8,269); Kuala Lumpur (6,604); Negeri Sembilan (6,455); Perak (5,789); Kedah (5,784); Pulau Pinang (3,514); Melaka (2,690); Perlis (1,175); Sarawak (1,066) dan Sabah (971).

Daripada jumlah itu, 10,909 penghidap meninggal dunia akibat AIDS. Dalam tempoh enam bulan pertama 2007, 2,395 kes baru dilaporkan. Apa yang membimbangkan ialah semakin ramai wanita dijangkiti HIV (satu dalam tujuh kes baru pada 2006) berbanding satu dalam 86 kes pada 1990.

Lebih menyedihkan, lebih ramai suri rumah dikesan positif HIV (empat hingga lima kali lebih tinggi) berbanding pelacur.

Virus HIV merosakkan sistem pertahanan badan. Apabila daya ketahanan badan menjadi sangat lemah, badan individu HIV hilang keupayaan melawan semua penyakit sehinggakan penyakit yang ‘biasa’ seperti selesema boleh mengancam nyawa mereka dan ketika inilah mereka dikategorikan sebagai pesakit AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit).

Ramai tersilap kerana menganggap HIV sebagai penyakit. HIV bukan penyakit tetapi virus.

AIDS pula adalah masalah kesihatan yang dialami individu HIV apabila daya ketahanan badan mereka berada pada tahap yang sangat rendah.

Sehingga kini belum ada ubat yang boleh menghapuskan virus HIV dan oleh kerana AIDS disebabkan jangkitan virus itu, maka masih tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini. Namun kini ada ubat yang mampu mengawal jumlah virus dalam badan individu HIV.

Berapakah lama masa yang diambil virus HIV untuk menyebabkan seseorang mendapat AIDS? Tempohnya berbeza antara individu dan bergantung kepada banyak faktor. Kebanyakan orang tidak sedar mereka dijangkiti HIV kerana ia tidak menunjukkan gejala sehinggalah jangkitan sampai ke peringkat teruk (apabila daya ketahanan badan menjadi sangat lemah) dan virus ini boleh mengambil masa sehingga 10 tahun untuk menunjukkan ‘taringnya’.

Meskipun di negara kita sudah ada kemudahan untuk ujian HIV, tidak ramai golongan yang berisiko menjalani ujian ini kerana pelbagai alasan. Malu, yakin diri terlepas jangkitan, bimbangkan pandangan negatif masyarakat dan takut untuk menghadapi kenyataan sekiranya disahkan positif adalah antara sebab mereka tidak mahu menjalani ujian.

Malah di kalangan yang tahu dijangkiti HIV, masih ada yang enggan mendapatkan rawatan atau memaklumkan perkara itu kepada bekas pasangan seks mereka. Memang bukan mudah untuk menerima hakikat dijangkiti HIV, malah kalau boleh, perkara ini mahu dirahsiakan hingga ke mati kerana ramai masih memandang serong terhadap golongan ini, malah ada yang berfikiran ‘itulah balasan terhadap tingkah-laku mereka’.

Jika anda juga berfikiran begini, pertimbangkan semula. Siapakah kita untuk menghukum mereka? Bukan semua orang yang dijangkiti HIV berkelakuan ‘buruk’ kerana ramai pesakit, terutama wanita (suri rumah) mendapat jangkitan daripada pasangan yang tidak setia dan kemudian mewariskan virus HIV kepada anak menerusi kehamilan.

Jangkitan HIV dan AIDS kini bukan lagi penyakit pembunuh, sebaliknya kini ia dikategorikan sebagai penyakit kronik sebagaimana kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung atau selesema; seperti dihidapi ratusan ribu orang di negara kita. Jadi, tiada sebab untuk kita terus memandang negatif pesakit AIDS. Tanggapan sebegitu membunuh pesakit akibat malu mendapatkan rawatan.

Namun, apa yang lebih penting ialah melawan selesema pada diri sendiri, terutama selepas disahkan dijangkiti virus HIV.

Isu ini paling sukar kerana masih ramai beranggapan HIV/AIDS bererti mati. Tidak sedikit pesakit cuba membunuh diri kerana tidak dapat menerima hakikat yang membuatkan mereka berasa kecewa, tertekan dan hilang keinginan untuk hidup.

Malah ada yang beranggapan, jika sudah disahkan mereka akan mati dalam tempoh tertentu, mengapa harus tunggu lama? Bukankah lebih baik perkara itu (menamatkan riwayat) dilakukan secepat mungkin supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah.

Stigma (sama ada daripada masyarakat atau diri sendiri) dan diskriminasi menghalang pesakit tampil mendapatkan rawatan serta sokongan. Tanpa rawatan, pesakit akan terasing, takut, tidak berpengetahuan dan tidak mendapat galakan untuk menguruskan penyakit dengan baik.

Di negara kita, rawatan AIDS peringkat pertama diberikan secara percuma di semua hospital kerajaan. Ia terbukti berkesan untuk membantu pesakit melawan penyakit, memanjangkan jangka hayat dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

CINTA : Cinta harap dalam kemjuan dunia sekarang ini semua orang dapat mengurangkan salah tanggapan terhadap pembawa atau penyakit HIV ini.

No comments:

Post a Comment