Thursday, May 10, 2012

Buka Gerai Burger Di Hadapan Rumah Ambiga - Cinta

Ridzuan (empat kiri) membuka gerai di hadapan rumah pengerusi Bersih itu 
tanda protes kerana menyebabkan kerugian kepada peniaga pada 
penganjuran Bersih 3.0 lalu


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas)  mahu  memanggil lebih  ramai  penjaja kecil  membuka gerai di sekitar kawasan kediaman   Datuk S. Ambiga  jika sekiranya tiada respons positif mengenai tuntutan ganti rugi peniaga di sekitar kawasan terjejas akibat perhimpunan Bersih  28 April lalu.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu untuk Pengerusi Bersih 2.0 memberikan  respons berhubung ganti rugi berjumlah lebih RM200,000 yang diterima menerusi 200 aduan daripada penjaja kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada hari itu.

“Kami mahu Ambiga bertanggungjawab di atas segala kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para  penjaja kecil akibat perhimpunan berkenaan dan gerai burger yang dibuka  di hadapan rumah beliau pada hari ini adalah simbolik kepada ketidakpuasan hati penjaja terhadap apa yang berlaku pada hari perhimpunan itu,” katanya pada sidang media khas sempena protes di hadapan rumah Datuk S.Ambiga di Bukit Damansara, hari ini.

Katanya,  Ambiga juga masih  perlu menjelaskan  ‘hutang’ berjumlah RM 817,205  kerugian peniaga dan penjaja di kawasan yang sama ketika penganjuran Bersih 2.0.

Dalam protes yang diadakan di  hadapan rumah Pengerusi Bersih itu, seramai 20 orang termasuk dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tunku Abdul Rahman berkumpul dan membuka gerai burger selama satu jam bermula jam 2 petang.

Rumah Ambiga kelihatan dikawal ketat oleh tiga  orang pengawal peribadi sejak jam 1.30 petang.

Protes yang sepatutnya diadakan secara aman  turut dicemari dengan insiden provokasi apabila salah seorang penyokong Ambiga menjerit ‘penyangak’ ke arah peserta protes menyebabkan suasana tegang apabila Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan cuba  menafikan tuduhan itu dan berlaku pertikaman lidah.

Datuk S.Ambiga yang berada di rumahnya   mengadakan sidang media sejurus  selepas itu kesal dengan tindakan pihak terbabit mengadakan protes dihadapan rumahnya.

“Saya serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilai sendiri tindakan yang dilakukan oleh    sehingga mereka boleh datang ke kediaman dan  mengganggu privasi saya  serta   seluruh kawasan kejiranan ini, tentang hal ini biarlah    pemimpin negara yang ulas, saya tunggu.

“Saya tidak akan bayar ganti rugi itu sekarang, mereka (peniaga) boleh failkan semua tuntutan ganti rugi  itu di mahkamah, jika pihak mahkamah arahkan  bayar ganti rugi baru saya akan bayar begitu juga  kalau mahkamah suruh minta maaf,  mungkin saya akan lakukan,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau takut dengan apa yang berlaku hari ini, Ambiga berkata dia tidak sedikit pun takut kerana ramai yang berada di belakangnya ketika ini.

“Buat apa saya hendak takut, anda lihat dibelakang saya ini ramai wakil NGO  dan mereka bersedia bersama-sama menghadapi apa jua tentangan disebabkan penganjuran Bersih ini,” katanya.

Kata Ambiga lagi, laporan polis juga akan dibuat berhubung  tindakan protes yang dilakukan di hadapan rumahnya.



PLEASE SHARE THIS INFO
SHARING IS SEXSY

1 comment:

  1. Hello, Neat post. There's an issue along with your website in internet explorer, could test this? IE nonetheless is the marketplace leader and a large element of people will omit your wonderful writing because of this problem.

    my blog - gifts for kids

    ReplyDelete