Saturday, May 19, 2012

Remy, Diana Buka Lembaran baru Tahun 2012 - Cinta



Nama dua figura ini barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tanah air. Uniknya, tidak sekadar berbakat dalam bidang lakonan yang selama ini menaikkan nama mereka, jejaka pujaan Malaya, Remy Ishak dan gadis pan asia, Diana Danielle turut mempunyai bakat terpendam dalam bidang seni suara.

Jika Diana pernah menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem Magika, Remy pula menyumbangkan suaranya untuk salah satu lagu di dalam filem 29 Februari yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

Justeru, tidak hairanlah apabila mereka berdua menjadi antara teraju utama filem terbaru arahan Osman Ali, Jiwa Taiko yang akan menemui penonton pertengahan Jun ini.

Berkongsi pengalaman berlakon dalam filem bergenre aksi itu, Remy mengakui tidak sukar untuk bekerjasama dengan Diana apatah lagi mereka pernah bekerjasama.

“Sebelum ini, kami bekerjasama menerusi filem Azazil dan apa yang saya dapat lihat, lakonan dia semakin hari semakin bagus.

“Saya memang selesa bekerjasama dengan dia dan tak sukar mencari keserasian kerana kami bukan baru kenal dan dia juga boleh di bawa berbincang dan bergurau,” katanya.

Namun, di sebalik bakat yang dimiliki selebriti muda ini, keduanya pernah melalui kisah kontroversi yang hampir mencalarkan nama baik mereka dalam bidang seni.

Enggan lagi menyelak lembaran lama, baik Remy mahupun Diana, keduanya mempunyai pendapat yang sama iaitu tidak mahu lagi mengambil kisah pahit itu dari sudut yang negatif sebaliknya memandang ia dari sudut positif.

Malah, bagi Diana sendiri, biarpun namanya sekali lagi dipalit dengan kisah negatif baru-baru ini, namun dia mengakui cukup bertuah kerana berpeluang melalui cabaran ini pada usia muda.

“Sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, memang kadangkala saya rasa sedih bila orang luar membuat cerita yang bukan-bukan mengenai saya.

“Tapi, saya tak mahu ambil ia dari sudut yang negatif sebaliknya saya pandang ia dari sudut yang positif. Ini adalah harga yang perlu saya bayar bila bergelar selebriti dan saya faham tidak semua orang akan suka pada kita dan sentiasa cari kesalahan kita.

“Bila makin lama saya dalam industri, saya makin memahami ‘sepak terajang’ industri seni dan saya cukup beruntung kerana melaluinya pada usia muda kerana mental saya masih kuat.

“Justeru, pengalaman sebegini dapat saya gunakan sebagai panduan pada masa akan datang,” jelasnya.

Bagi Remy pula, biarpun tahun 2011 boleh dikatakan tahun paling kelam buat aktor berkulit hitam manis ini, namun dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mahu meneruskan kariernya ke tahap yang lebih baik lagi.

“Bagi saya, kontroversi atau pun kisah negatif yang melibatkan saya sebelum ini, saya ambil ia sebagai proses pembelajaran buat saya.

“Namun bagi saya sendiri, apa yang penting, saya mahu fokus mengenai diri saya sendiri dan kerjaya saya dari fikirkan perkara lain kerana jika kita terlalu fikirkan sangat, ia akan membuatkan kita tertekan.

“Apa yang penting, setiap dugaan itu kita perlu ambil ia dari sudut yang positif,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran Bravo 5.

Remy gila kerja

Umum mengetahui bahawa Remy baru-baru ini mengalami kecederaan di dahi ketika menjalani penggambaran Bravo 5 sehingga menerima 13 jahitan akibat luka tersebut.

Biarpun cedera, Remy tetap meneruskan penggambaran dan sempat menyertai program konvoi bersama Dira Abu Zahar & Red Garage keesokan harinya.

Mengakui seorang yang ‘gila’ kerja, Remy berkata, dia tidak betah bercuti lama-lama dan akan segera kembali ke set penggambaran.

“Pernah sekali saya pulang ke kampung untuk bercuti dan tiga hari lepas itu, saya mahu kembali ke Kuala Lumpur sehingga ibu saya sendiri menegur. Jika orang lain suka bila mendapat cuti, tapi saya pula rasa tak keruan bila duduk di rumah lama-lama,” katanya.

Medium sampaikan mesej

Menyentuh mengenai karier lakonannya, Remy mengakui berlakon bukan satu perkara mudah bagi memastikan penonton merasai kelainan yang dibawakan dalam setiap cerita yang dilakonkannya.

Malah, Remy juga mengakui menginginkan sebuah watak seperti Adam dalam drama bersiri Nur Kasih yang bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, bahkan dirinya juga.

“Jika ada penonton yang merasakan Nur Kasih banyak memberi kesan dalam hidup mereka, saya juga berpendapat yang sama kerana ‘Adam’ banyak mengubah hidup saya.

“Bila saya membawa watak Adam, secara tidak langsung ia memberi keinsafan kepada saya bila saya kenangkan masa-masa muda saya dulu dan sehingga kini, saya masih menantikan watak yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya.

Remy berkata, dia menjadikan bidang lakonan untuk menyampaikan mesej kepada penonton supaya dapat dijadikan iktibar. Justeru, dia seboleh-bolehnya memilih naskhah yang sesuai dan menghayati setiap watak yang diberikan supaya dapat memberi kesan kepada penonton.

“Saya tidaklah kata saya bagus sangat, cuma setiap kali saya dapat cerita atau watak, saya berlakon dengan niat lakonan saya akan memberi pengajaran. Saya tidak mahu penonton melihat lakonan dari sudut hiburan semata-mata. Asalkan memberi kesan kepada penonton, ia sudah memadai buat saya dan saya tidak mengimpikan untuk mendapat anugerah dari setiap lakonan saya,” ujar jejaka berusia 30 tahun ini.


Diana enggan fokus cinta

Hubungan cinta yang terjalin di antara Diana dan aktor, Farid Kamil bukan lagi satu rahsia. Namun, berbeza dengan pasangan selebriti lain, baik Diana mahupun Farid, keduanya lebih selesa bercakap mengenai karier dan tidak mahu menggembar-gemburkan hubungan mereka kepada umum termasuk mempamerkan kemesraan.

Menjelaskan mengenai hubungannya dengan Farid, Diana berkata, dia tidak mahu bercakap mengenai kisah cintanya bukan kerana takut episod lama berulang kembali, sebaliknya tidak mahu menjadi contoh tidak baik kepada generasi muda.

“Kadangkala ada peminat yang menganggap artis sebagai ikon atau model mereka. Bagi saya dalam karier seseorang artis, kisah cinta tidak perlu ditonjolkan dan ia bukan contoh yang baik. Saya lebih selesa orang bercakap mengenai lakonan saya atau bidang nyanyian dan tidak mahu bercakap mengenai perkara yang remeh temeh.

“Jika saya sendiri rasa tidak suka bercakap mengenai hubungan cinta, saya percaya pembaca sendiri tentu muak bila membaca mengenai kisah cinta,” katanya.

Biarpun ramai yang bertanya mengenai masa depan hubungannya dengan Farid, Diana berkata, mereka berdua tidak pernah membincangkan mengenai hal pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.

“Tak berbincang bukan bermakna kami tak bersedia. Jika jodoh sudah sampai, esok pun kami boleh berkahwin. Cuma ini melibatkan air muka kami dan keluarga. Rasanya bila sudah pasti, barulah sesuai untuk bercerita dengan lebih lanjut,” katanya.

Akui semakin selektif

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Diana nafi merajuk dengan industri seni memandangkan dia jarang muncul sejak akhir-akhir ini.

Sebaliknya, gadis ini mengakui lebih selektif memilih tawaran kerana mahu memastikan namanya kekal dalam industri ini.

“Selepas Magika, saya terfikir apa yang akan saya buat lagi selepas ini dan saya terfikir untuk berubah dan lebih memilih tawaran kerana saya tidak mahu naskhah yang ringan atau yang biasa saya bawa.

“Bagi saya, apa yang kita lakukan perlulah enjoy dan kita puas dengan hasilnya. Malah, sebagai pelakon, saya juga perlu menjaga kualiti lakonan saya supaya orang tidak rasakan kita sebagai pelakon yang stereotaip.

“Selain itu, faktor tidak boleh berjauhan dengan mama membuatkan saya akan berfikir dua tiga kali sebelum menerima satu-satu tawaran itu sekiranya penggambarannya dilakukan di luar Kuala Lumpur,” jelasnya.


Nota : Kepada Remy dan Diana Cinta harap yang terbaik untuk kedua-dua pelakon ini.Kurangkan Kontroversi tingkatkan prestasi bak pepatah rancangan Melodi.

No comments:

Post a Comment