Sunday, May 27, 2012

Nas Adila Cipta Nama Di Pattaya Thailand



Diam- diam ubi berisi. Inilah perumpamaan yang sesuai diberikan kepada penyanyi Nas Adila.

Sungguhpun namanya tidak segah penyanyi lain yang sama bertapak dengannya di dalam industri hiburan tempatan, namun rupa-rupanya penyanyi yang mesra disapa Adila ini pernah mengadakan persembahan di luar negara.

Menerima jemputan daripada penganjur untuk menjayakan Festival Muzik Antarabangsa Pattaya 2012 (PIMF 2012) di negara jiran, Thailand pada 26 hingga 28 April lalu, bintang Akademi Fantasia musim ketujuh ini tidak menyangka muziknya dapat diterima baik di sana.

Meskipun sedikit ralat kerana lagu-lagunya kurang dikenali di negara sendiri, namun gadis berusia 26 tahun ini bersyukur penghijrahannya memilih konsep pop dance sejak tahun lalu sedikit menampakkan hasil.

“Meskipun lagu Adila agak kurang dimainkan di radio, tetapi Alhamdulillah rezeki untuk Adila masih ada di luar sana.

“Mungkin lagu bergenre pop dance masih belum diterima secara meluas di sini, tetapi konsep seperti itu dapat diterima baik di Thailand memandangkan rakyat di sana kini sedang dilanda dengan muzik K-pop,” katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama untuk Hari Merdeka berjudul Sedetik Lebih.

Diberi peluang menyampaikan lima lagu, Adila memilih untuk mempromosikan dua singlenya berjudul I Love You dan Bidadari Syurga sementara tiga lagi ialah lagu bahasa Inggeris berjudul Someone Like You (nyanyian asal Adele), Domino (Jessie J) dan Mr. Saxobeat (Alexandra Stan).

Teruja pertama kali mengadakan persembahan di luar negara, Adila sanggup mempelajari beberapa perkataan dalam bahasa Thai bagi menarik perhatian penonton yang hadir di sana.

“Sebagai persiapan sebelum ke sana, Adila ada belajar beberapa perkataan untuk berkomunikasi dengan penonton di sana memandangkan mereka kurang fasih menggunakan bahasa Inggeris.

“Namun, Adila anggap ia sebagai pengalaman berharga bagi membantu Adila mengembangkan karier selain dapat membantu memperkenalkan lagu Adila di sana,” katanya yang masih lagi berhubung dengan pihak penganjur.

Memandangkan sambutan baik yang diterima di sana, Adila juga merancang untuk menembusi pasaran Thailand dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Thai.

Namun menurutnya, dia harus mempelajari bahasa itu dengan lebih mendalam lagi bagi mendapatkan lenggok dan sebutan yang betul.

“Ada komposer di sana yang menawarkan Adila untuk merakamkan lagu namun syaratnya Adila kena belajar bahasa Thai. Buat masa ini Adila sedang memikirkan lagi perkara itu, namun Adila sedar itu adalah peluang yang baik untuk Adila bertapak di sana," katanya.


NOTA : Amboi dalam diam-diam dapat jemputan mengadakan konsert di Thailand.Apa-apa pun Cinta ucapkan Nas Adila supaya lebih berjaya selepas ini.

No comments:

Post a Comment