Friday, April 17, 2015

Mengapa Perlu Melakukan Ujian HIV Awal


Mengapa perlu melakukan ujian HIV awal?

Pengesanan jangkitan HIV yang awal boleh menyebabkan anda mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan boleh melangsungkan hidup lebih lama. Malah anda boleh mengelak daripada memindahkan virus HIV kepada pasangan kesayangan anda dan orang lain.

Satu lagi sebab yang sangat penting ialah anda boleh menentukan sama ada selamat atau tidak untuk hamil.

Pilihan untuk menjalani Ujian Antibodi HIV terletak di tangan anda sendiri. Yang pasti, mengetahui keputusan ujian tak kiralah positif atau negatif akan lebih mententeramkan jiwa anda daripada terus gelisah tanpa mengetahui situasi yang sebenar.

Walaupun keputusan adalah positif, terdapat rawatan untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan anda boleh hidup lebih lama. Jadi ujian HIV awal sangat-sangat penting.


Penyembuhan penyakit HIV/AIDS

Masih tiada lagi ubat atau rawatan untuk menyembuhkan HIV/AIDS. Walaubagaimanapun terdapat ubat dan rawatan untuk melambatkan proses penyakit ini.

Info Rawatan:
Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit seperti ubat antiretrovirus yang menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV.

Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan AIDS/HIV.

Sejak akhir tahun 1980-an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan ubat antiretroviral ke dalam rejimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.

Kombinasi tiga atau lebih ubat antiretroviral yang biasanya dipanggil ‘dadah koktel’ didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti dengan cara memperlahankan perebakan HIV.

Lain-lain termasuklah perencat protease, Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI) serta gabungan ubat-ubatan di atas.

Di samping terapi ubat-ubatan dan kaunseling, pemakanan yang sihat boleh menyumbang ke arah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS.

Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV.

Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan.

Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.

Terdapat bukti yang kukuh mengenai senaman yang dapat memperbaiki mood dan kualiti hidup individu positif HIV – menjadikan mereka lebih kuat, meningkatkan daya ketahanan dan melindungi mereka daripada infeksi.

Pencegahan AIDS memerlukan disiplin dan kekuatan diri. Keperluan ini kadang-kadang sukar untuk dipenuhi tetapi ia berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.


Pertubuhan atau organisasi berkaitan HIV/AIDS
Pertubuhan atau organisasi berikut boleh membantu anda.

~Majlis AIDS Malaysia / Malaysian AIDS Council
~Kuala Lumpur AIDS Support Services (KLASS)
~Women and Health Association of Kuala Lumpur (WAKE)
~Malaysian CARE
~Hospital Kuala Lumpur

CINTA : Selamat membaca dan tolong share atau like semoga kita semua dapat berkongsi informasi

No comments:

Post a Comment