Friday, April 17, 2015

Konsep Diet Atasi Obesiti

MASALAH kesihatan paling membebankan masa kini ialah obesiti. Keadaan tersebut didorong oleh faktor pemakanan dan persekitaran. Tidak hairanlah generasi muda termasuk kanak-kanak sekolah sekarang mengalami penambahan berat badan yang cukup ketara.

Bimbang dengan gejala berkenaan, kerajaan baru-baru ini mengambil langkah proaktif menguatkuasakan larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat di kantin sekolah seluruh negara.

Di samping itu, gejala obesiti telah membuka mata semua pihak tentang betapa pentingnya usaha menurunkan berat badan dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Bagi seorang pengamal perubatan, Dr. Aishah Tul Radziah Lebai Hussin, 60, penjagaan pemakanan, pemantauan perubatan dan senaman adalah faktor yang menyumbang kepada pengurangan berat badan ideal.

Beliau yang juga pengasas Dr. Aishah Solution Sdn. Bhd. (DAS) berkata, perkara tersebut merupakan petua penting bagi seseorang untuk kekal langsing dan sihat.

Menceritakan pengalamannya, Dr. Aishah memberitahu, beliau sendiri sebelum ini mengalami kegemukan serius. Tetapi berjaya menguruskan badan selepas mengamalkan kaedah saintifik secara selamat dan sihat yang diciptanya dikenali formula Fast Amazing Result (FAR) dalam tempoh lima bulan.

"Kisah saya bermula pada tahun 2002 iaitu ketika berumur 51 tahun. Berat badan saya naik mendadak sehingga 68 kilogram (kg) selepas mengalami menopaus," katanya.

Beliau berkata, dengan ketinggiannya yang sederhana, berat badan terbabit mengundang pelbagai masalah seperti gastrik, migrain, sakit sendi dan lesu.

"Keadaan ini telah menjejaskan kualiti hidup saya apatah lagi sebagai seorang doktor yang berdepan dengan pesakit," katanya.

Akibat kegemukan secara melampau itu, beliau turut menjadi mangsa sindiran suaminya iaitu Dr. Fisol Ahmad.

"Kata suami, bagaimana hendak berdepan dengan pesakit untuk berikan khidmat nasihat sedangkan diri sendiri tidak ideal," ujarnya.

Teguran daripada suaminya itu telah membakar kembali semangat Dr. Aishah untuk menurunkan berat badan. Dengan menggunakan ilmu perubatan dan gabungan pengetahuan daripada pembacaan, Dr. Aishah telah merangka sendiri konsep diet bersesuaian.

"Saya menjadikan diri sebagai bahan uji kaji dan akhirnya berjaya menemui formula berkesan dikenali sebagai kaedah FAR yang dapat menurunkan berat badan sehingga dua kilogram seminggu.

"Kaedah ini memerlukan saya memilih jenis makanan dan kalori bersesuaian," katanya.

Setelah lima bulan terlibat dalam eksperimen , akhirnya pengamal perubatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbidanan dan sakit puan dari Universiti Malaya (UM) itu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 19 kg kepada 49 kg.

Lebih bermakna, berat badan ideal tersebut berjaya dikekalkan sehingga sekarang meskipun usianya kini meningkat kepada 60 tahun.

Bertitik-tolak daripada kejayaan tersebut, beliau kemudian tidak jemu berkongsi pengalaman menurunkan berat badan dengan orang ramai.

Tidak lama selepas itu, beliau menubuhkan DAS di Kompleks Seri Temin, Sungai Petani, Kedah sebagai tempat rujukan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

"Saya juga memperkenalkan produk makanan tambahan dan program Transformasi Diri Kekal Langsing (TDKL) bagi menggandingkan pemantauan perubatan, penjagaan pemakanan dan perubahan gaya hidup sihat," katanya.

Katanya, antara produk makanan tambahan tersebut ialah multi vitamin, minyak ikan Omega-3, minyak kelapa dara, minyak bijirin flaxseed dan teh hijau.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan ramai daripada pesakitnya berjaya menurunkan berat badan dan kekal sihat.

Di samping itu, Dr. Aishah berkongsi pengalaman dengan menulis buku bertajuk Rahsia Transformasi Diri Kekal Langsing.

"Dalam buku berkenaan, saya memuatkan rahsia bagaimana saya berjaya menurunkan berat badan dan kekal langsing serta memperkenalkan 43 resipi makanan istimewa," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau kini menganjurkan seminar dan bengkel di seluruh negara untuk menggalakkan pemakanan sihat serta berkongsi rahsia transformasi menurunkan berat badan serta kekal langsing.

Sementara itu, salah seorang pelanggan DAS, Hasbah Awang Kechik, 40, mengakui formula FAR yang diperkenalkan Dr. Aishahamat berkesan.

Ini kerana, katanya, dia berupaya mengurangkan berat badan daripada 76 kg kepada 53 kg dalam tempoh lima bulan.

"Program ini memang selamat dan diyakini memandangkan pelopornya seorang pengamal perubatan yang berpengalaman luas. Saya kini gembira dan mampu kekalkan badan yang langsing," katanya.

CINTA : Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment