Friday, April 17, 2015

Khadijah Di Mata Seorang Lelaki


"Ia kisah tentang wanita..."

"Ia kisah tentang hebatnya sebuah rumahtangga..."

Inilah persepsi yang melatari para aktivis dakwah muslimin apabila kisah Khadijah dibentangkan. Bukan salah kisah itu, tetapi apabila dipersembahkan terlalu tekstual, maka martabat seorang yang diprojekkan Allah Subhanahu wa Taala untuk melengkapkan perjuangan Rasul tidak mampu diambil pelajaran sebaiknya dalam konteks yang lebih besar.

Bagi saya, kisah Nabi Muhammad Rasulullah dengan Khadijah tidak terhenti setakat kisah cinta dan perkahwinan sahaja.

Kisah Muhammad-Khadijah adalah kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan pengalaman hidup (worldview) dan kematangan membuat keputusan. Sebagaimana Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan melalui rukun Islam yang kelima (Haji yang mesti melalui jalan susah untuk ke sana), demikianlah Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan dengan pemilihan seorang wanita berusia 40 tahun untuk menikahi seorang jejaka tampan 25 tahun, seusia seorang graduan universiti, yang baru sahaja menolak ramai para perawan Makkah dan jelitawan Bani Hasyim.

Ramai pengkaji sejarah merumuskan bahawa perkahwinan Rasulullah dengan seorang isteri sahaja, yang berusia lebih tua dari usia baginda, dan yang telahpun (berpengalaman) menjadi janda sebanyak bukan sekali bahkan dua kali, mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi. Jika baginda beristeri dengan seorang wanita yang lebih muda dari baginda, mungkin isteri itu mencatat rekod kurang baik apabila isteri muda itu tidak mampu menanggung seperti hal-hal yang ditanggung oleh Khadijah. Allah ternyata lebih tahu apa yang terbaik untuk mempersiapkan perjalanan jauh Rasulnya.
Kisah Muhammad-Khadijah juga adalah kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan kekayaan dan kompetensi mencipta kekuatan wawasan dan dana untuk melancarkan gerakan.

“Kesan berdagang atas nama Khadijah, Rasul menjejakkan kaki ke semua pasar-pasaraya utama di seluruh Jazirah Arab. Justeru sebelum kenabian baginda sudah mempunyai wawasan geografik yang sangat jelas.” (Dr. Antonio Syafie, Super Leader Super Manager)


CINTA : Selamat membaca

No comments:

Post a Comment