Wednesday, April 15, 2015

Keluarga Perlu Bijak Rancang Perbelanjaan


BIJAK merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Laily Paim ketika membentangkan kertas kerja berjudul Perancangan dan Pengurusan Kewangan Keluarga pada Seminar Islam Hadhari 'Kefahaman Mengenai Kehidupan Keluarga Berkualiti' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bermula 7 hingga 8 Jun, berkata antara petunjuk keluarga menghadapi masalah kewangan adalah tidak tahu ke mana wang dibelanjakan, tidak pasti berapa banyak hutang, bil-bil tertunggak, mengambil pinjaman baru untuk membayar hutang lama, bergantung kepada pendapatan tambahan, menggunakan kredit untuk memenuhi keperluan hidup, menggunakan simpanan untuk keperluan harian dan tidak dapat langsung menyimpan.

"Semua petunjuk yang disenaraikan bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga dan ia bukan bermakna keluarga mempunyai pendapatan rendah tetapi ini menunjukkan kewangan keluarga tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan," katanya.

Katanya, mengurus kewangan membolehkan keluarga menyedari matlamat dan berusaha mencapai matlamat dengan sumber kewangan yang ada. Pengurusan kewangan juga membolehkan keluarga mampu menghadapi cabaran atau kejadian yang tidak diduga selain membentuk disiplin diri dan sikap bertanggung jawab terhadap kehidupan masa kini dan akan datang.

"Menggunakan wang dengan berkesan bermaksud matlamat yang ditetapkan dapat dicapai manakala mengurus wang dengan cekap bermaksud menggunakan wang seminimum yang boleh untuk mencapai semaksimum matlamat yang boleh. Oleh kerana keperluan dan kehendak itu banyak, sedangkan wang terhad, keutamaan perlu ditentukan. Sebelum membelanjakan wang, tanya diri sendiri apakah sesuatu benda atau khidmat yang dibeli itu penting? Apakah ia tidak boleh ditangguhkan?" katanya.

Antara kesilapan biasa dalam mengurus kewangan ialah sikap gemar berhutang berbanding membeli sesuatu benda atau perkhidmatan secara tunai. Kaedah pembelian secara kredit (kad kredit) yang kini menjadi cara hidup ramai menyebabkan banyak keluarga mengorbankan peruntukan kewangan di masa depan seterusnya gagal membuat simpanan untuk matlamat kewangan lebih penting.

"Membuat pembayaran secara ansuran biasanya lebih mahal dibandingkan bayaran tunai kerana caj kewangan dikenakan seperti faedah dan caj perkhidmatan menyebabkan lebih terhad peluang untuk berbelanja di masa depan. Inilah sebabnya mengapa ramai eksekutif muda bankrap akibat berbelanja secara berhutang yang berlaku akibat tidak dapat menyesuaikan gaya hidup dengan kemampuan," katanya.

Lima elemen dalam proses merancang kewangan iaitu mengurus, memantau, menentukan jumlah wang diperlukan dan untuk apa, membentuk rancangan berbelanja dan mematuhi rancangan yang dibuat. Mulakan dengan merujuk rekod kewangan seperti penyata bank, slip gaji, cukai pendapatan dan penyata kad kredit tahun lalu yang memberikan gambaran realistik mengenai berapa banyak pendapatan diperoleh dan di mana wang dibelanjakan.

"Catat semua perbelanjaan setiap hari selama sekurang-kurangnya sebulan. Berpandukan rekod ini, keluarga boleh merancang perbelanjaan dengan lebih realistik. Jika terlebih belanja, usaha berjimat cermat. Walaupun pendapatan melebihi perbelanjaan, perancangan masih diperlukan untuk meningkatkan lagi kuasa berbelanja. Berjimat cermat adalah langkah pertama ke arah mengumpul kekayaan," katanya.

Semua rancangan simpanan bermula dengan mengurangkan perbelanjaan bulanan. Penyata pendapatan adalah ringkasan pendapatan dan perbelanjaan keluarga yang membolehkan keluarga menyemak pendapatan dan perbelanjaan lepas.

Terdapat beberapa bentuk simpanan yang boleh dibuat iaitu menyimpan secara tetap setiap bulan (contoh potongan gaji), simpanan penggunaan iaitu membeli barangan tahan lama, menyimpan secara paksaan melalui pembelian insuran,
potongan KWSP dan skim pencen, menggunakan hanya wang kertas dan wang syiling kumpulkan dan simpan durian runtuh yang diterima.

"Pelaburan juga adalah kaedah menggandakan wang. Secara umumnya pelaburan adalah cara menggunakan wang pada masa kini untuk menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi pada masa depan. Antara contoh pelaburan adalah akaun simpanan, simpanan tetap, saham kerajaan dan pasaran saham. Perlu diingatkan bahawa pelaburan membabitkan risiko seperti inflasi, deflasi, perniagaan, kadar faedah dan sebagainya," katanya.


CINTA : Selamat merancang.Perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti.Semoga artikel kali ini dapat menambah pengehtahuan kita semua.

No comments:

Post a Comment