Friday, May 18, 2012

Masa Terbaik Untuk Mara Buat Tony Eusoff Dan Zizan Nin - Cinta


KEHADIRAN dua wajah ini memang menarik perhatian ramai. Tidak sekadar bersandar kepada rupa paras dan populariti, sebaliknya bagi Tony Eusoff mahupun Zizan Nin, bakat adalah taruhan utama mereka sejak awal melangkahkan kaki dalam lapangan seni.

Bagaimanapun jika ditinjau dari perspektif yang lebih luas, kedua-duanya tidaklah menerima tempias publisiti yang besar atau pernah dihimpit kontroversi hingga mampu memperkenalkan nama jauh ke atas. Sebaliknya masing-masing mengekalkan kesederhanaan dan lebih bercerita soal kerjaya. 
Bertemu dengan dua anak seni yang tidak lekang bergurau dan mengusik ini di majlis sidang media memperkenalkan artis-artis baru naungan syarikat pengurusan mereka, Aquila Emas Sdn Bhd petang Isnin lalu setidak-tidaknya dapat memberikan jawapan kepada persoalan akan perkembangan mereka sekarang.

Namun sesuatu yang pasti, Tony dan Zizan kini sedang sibuk mempersiapkan diri apabila menerima undangan untuk tampil berlakon bersama produksi di luar negara.

Jelas Zizan yang sebelum ini terkenal dengan watak Tun Mahathir dalam pementasan teater muzikal Tun Mahathir dan drama Mendongak Ke Langit, akhirnya apa yang pernah diimpikan mula terlaksana.

Meskipun tidak meraih begitu banyak publisiti mahupun sebarang pengiktirafan yang sering kali dijadikan kayu ukur dalam lapangan seni ini, peluang untuknya tampil dalam sebuah drama terbitan produksi Indonesia berjudul Black Haze dianggap memadai bagi membayar penat lelahnya sebagai seorang pelakon.

“Alhamdulillah saya sendiri terkejut dengan tawaran yang diberikan. Ini semua usaha pihak pengurusan Aquila Emas dan kepercayaan mereka untuk membawa saya jauh ke Seberang pula. Black Haze adalah sebuah drama yang dibintangi pelakon Indonesia dan hanya saya bersama seorang lagi pelakon yang belum disahkan dari Malaysia.

“Lebih menggembirakan apabila saya diberi kepercayaan untuk melakonkan watak utamanya sebagai Rizal, seorang jurugambar yang sanggup terbang ke sana semata-mata ingin melihat sendiri satu kejadian aneh yang dibacanya di sebuah buku yang mana wujudnya kepulan asap dan kabus di lorong antara bukit. Kemudiannya saya bertemu pula dengan beberapa anak muda di sana sebelum kami semua terperangkap dalam satu dunia bunian.

“Jalan ceritanya begitu menarik dan pembangunan watak yang diberikan begitu kemas dan kuat. Saya sudah pun meneliti keseluruhan skripnya dan kini sudah bersedia untuk terbang ke sana dalam minggu depan untuk merealisasikan watak itu,” katanya yang akan diterbangkan ke Bogor, selama dua minggu untuk penggambaran Black Haze itu.

Tambahnya lagi, Black Haze adalah satu pemangkin semangat bagi memimpin nama dan bakatnya ke peringkat yang lebih baik lagi.

“Inilah masa paling baik buat saya untuk terus ke depan selepas lebih sedekad menimba pengalaman dalam dunia lakonan. Saya sendiri awalnya gentar namun bersyukur kerana pihak produksi di Indonesia menerima dan yakin dengan bakat saya walaupun mereka punya banyak pilihan di sana. pastinya saya akan berusaha dengan baik untuk membuktikan kemampuan saya,” ujarnya lagi.

Lain pula bagi Tony Eusoff yang sebelum ini puas mencipta nama di pentas teater apabila namanya membintangi tiga pementasan sepanjang tahun lalu di Istana Budaya menerusi teater muzikal Terima Kasih Cinta, The Secret Life of Nora dan Dreamgirls, kali ini tiba masanya untuknya mengorak satu langkah lagi ke depan.

Jelasnya yang turut dikenali menerusi lakonan hebatnya dalam filem Sepi dan Cinta, impiannya kini adalah untuk terus mengukuhkan nama sebagai penggiat teater di pentas di rantau Asia.

“Permulaannya, saya akan ke Singapura pertengahan Jun depan untuk memulakan latihan bagi membintangi pementasan teater La Cage Awx Folles yang akan dipentaskan pada 20 Julai hingga 4 Ogos ini di Espelanade. Siapa sangka, ada pihak jauh di luar yang nampak akan kemampuan saya untuk melakonkan watak utamanya.

“Walaupun bermula sebagai pelakon TV dan filem, tidak dinafikan saya begitu seronok berlakon di pentas teater kerana ia lebih mencabar dan memberikan kepuasan yang berbeza. Kiranya jika seseorang pelakon itu pernah cuba berlakon di pentas teater, sudah pasti mereka akan ingin kembali berlakon di situ pelakon teater lebih bebas melakukan eksperimen terhadap watak dan lebih luas untuk beraksi.

“Teater ini berbahasa Inggeris dan saya akan disatukan dengan ramai penggiat teater di sana. Plot ceritanya begitu menarik dan tersendiri yang mana mengisahkan perjalanan seorang pemilik kelab yang berdepan dengan konflik keluarga. Saya percaya watak saya iaitu George akan mencerminkan satu sisi yang lain dan mampu membantu saya ke tahap yang lebih baik nanti,” jelasnya.

Selain mempersiapkan diri untuk tampil di pentas Singapura, Tony yang sebelum ini pernah dikenali menerusi drama siri Duyung Aridinata turut sibuk mencari penaja dan melakukan persiapan bagi menerbitkan teaternya sendiri.

Teater berjudul Romantic Fools adalah bukti kesungguhannya terhadap karya teater.

“Impian saya adalah untuk membuat sebuah pementasan pada skala yang besar dengan menampilkan sebuah plot cerita yang begitu hebat. Namun semua itu adalah angan-angan dan mustahil untuk direalisasikan dalam masa yang terdekat. Namun untuk memupuk semangat dan rasa cinta ke arah itu, saya ingin bermula dengan sesuatu yang lebih ringkas namun masih baik dari aspek ceritanya.

“Romantic Fools adalah sebuah teater terbitan bersama saya dan seorang lagi teman baik. Ia seperti sebuah kisah yang mengangkat tema hubungan antara lelaki dan perempuan termasuk senario sepasang kekasih, hubungan anak dan ibu, sahabat baik dan pelbagai lagi situasi yang digambarkan menerusi teater ini.

“Saya amat berharap percubaan pertama ini akan menerima reaksi positif bagi menyuntik semangat saya untuk terus mengejar cita-cita di kemudian hari,” katanya yang akan muncul dalam filem Pecah dan drama Melodi Cinta Sarikei tidak lama lagi.

NOTA : Semoga berjaya Cinta ucapkan kepada kedua-dua pelakon yang handsome ni dalam bidang lakonan.

No comments:

Post a Comment