Tuesday, April 21, 2015

Lindungi Anak Daripada Obesiti

Kanak-kanak boleh menjadi obes jika mereka lebih banyak makan dan minum daripada menggunakan badan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal.

Pakar Diet Pantai Hospital Ampang, Nursyamimi Ahmad berkata, obesiti bukan lagi dipanggil satu keadaan tetapi penyakit.

Tegasnya, kanak-kanak obes berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular seperti kolestrol, tekanan darah tinggi dan pra-kencing manis.

“Kanak-kanak dan remaja obes turut berisiko tinggi mendapat masalah tulang dan sendi, apnea tidur, masalah sosial dan psikososial seperti rendah diri dan kurang keyakinan diri,” ujarnya.

Nursyamimi menjelaskan, banyak faktor yang menyebabkan obesiti kanak-kanak.

Antara yang paling ketara pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.

Tambah Nursyamimi, kanak-kanak yang tidak bersarapan dan jika mereka bersarapan dengan makanan proses, golongan ini juga berisiko obes.

“Makanan proses seperti nugget dan sosej tidak mengandungi khasiat nutrien yang banyak. Malah makanan ini membantutkan perkembangan mental kanak-kanak. Selain itu, kebanyakan isi rumah hari ini tidak menyimpan buah-buahan sebaliknya umpama stor makanan ringan.

Obesiti juga berpunca daripada iklan yang banyak menonjolkan watak kartun dan makanan ‘junk’. Ini semua tarikan kepada kanak-kanak untuk memilih makanan tersebut berbanding buah-buahan atau sayur-sayuran,” ujarnya.

Katanya lagi, ruang rumah terhad seperti di pangsapuri atau kondominium menyebabkan kurangnya aktiviti fizikal kanak-kanak.

Bahkan, kebanyakan kanak-kanak pada hari ini tidak bermain di taman kanak-kanak.

Jelasnya, secara tidak langsung, kanak-kanak yang tidak banyak melakukan aktiviti fizikal akan berada di dalam rumah sambil makan, bermain permainan video atau menonton televisyen.

Dalam situasi ibu bapa yang bekerja dan memilih untuk makan di kedai, Nursyamimi tidak menganggap ia satu masalah. Sebaliknya, mereka perlu memastikan kedai makan tersebut bersih, pilih makanan berkhasiat dan tidak rosak.

“Selain itu, pilihlah nasi dengan lauk sayur, sup ikan atau sup sayur. Bagi ibu yang berkerja, anda boleh menyediakan bahan-bahan pra memasak pada hujung minggu iaitu potong bahan masakan awal dan memasak pada hari bekerja. Dengan ini anda boleh memasak sendiri makanan yang lebih baik daripada di kedai makan,” katanya.

Begitupun, pencegahan obesiti kanak-kanak boleh dilakukan tetapi harus bermula dari rumah.

Menurut Nursyamimi, obesiti kanak-kanak biasanya berlaku akibat pengambilan makanan berlebihan dan kurang bersenam.

Justeru jalan penyelesaian paling mudah adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Misalnya, menetapkan amalan pemakanan sihat dan rajin melakukan aktiviti fizikal.

“Namun, tidak mudah untuk anak anda melakukannya sendiri. Satu kaedah paling efektif bagi mencegah masalah obesiti adalah dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat seisi keluarga.

“Galakkan seluruh keluarga melakukan perubahan dalam aspek gaya hidup,” katanya.

CINTA : Kepada ibu-bapa sila kawal jadual pemakanan anak anda.Obesti boleh berjangkit tanpa mengira usia.

No comments:

Post a Comment