Sunday, May 20, 2012

Elfira Loy Curi Guna Gincu Bibir Ibu - Cinta


Nama Elfira Loy mungkin boleh dianggap sebagai baru di dalam industri hiburan tanah air. Namun, perjalanannya bergelar pelakon sudah mula dilalui sejak usia 13 tahun lagi dengan menyertai teater.

Jika dahulu gadis kecil molek ini banyak membintangi drama kisah budak sekolah, kini seiring dengan peningkatan usianya sebagai gadis remaja, Elfira Loy sudah mula mendapat perhatian pengarah dan penerbit untuk membintangi drama dan filem berkisar percintaan remaja.

Bermula dengan pelawaan berlakon di samping aktor remaja terkenal dari seberang, Randy Pangalila untuk drama Biar Mimpi Sampai ke Bintang, kini kerjaya lakonan pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini semakin berkembang.

Tambahan pula, di saat usianya baru 17 tahun, Elfira sudah pun melakarkan kejayaan peribadi apabila menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi drama Kum Kum di Anugerah Skrin 2011 tahun lalu.

Sedikit demi sedikit kejayaan yang diraih, anak kacukan Melayu, Cina dan Arab ini juga sudah bergelar jurucakap untuk jenama solekan terkenal antarabangsa, Maybelline New York.

Teruja dengan pelantikan tersebut, Elfira menganggap pencapaiannya itu sebagai pengalaman paling manis yang pernah di kecapi sepanjang kariernya sebagai pelakon.

Umpama mimpi menjadi nyata, Elfira bertuah dipilih sebagai jurucakap kepada jenama mekap yang telah digunakan sejak kecil lagi.

“Bukan senang untuk saya berada pada tahap seperti ini kerana perlu melalui tiga peringkat untuk sesi pemilihan sebagai jurucakap.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras saya pihak Maybelline dapat melihat usaha saya ini dan sekali gus memilih saya menjadi duta muda produk mereka,” katanya yang juga merupakan pengguna setia jenama produk itu.

Ditemui semasa majlis pengenalan Elfira Loy sebagai jurucakap baru produk Maybelline di Somerset Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lalu, gadis berkening lebat ini mengikat kontrak selama setahun sebagai gadis Maybelline bagi menggantikan jurucakap terdahulu, Liyana Jasmay.

Sebelum ini, selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha pernah bergelar jurucakap untuk produk Maybelline di Malaysia.

Mengulas mengenai pengalaman pertamanya menggunakan produk tersebut, Elfira berkata, dia mula mengenali produk ini daripada ibunya, Filzah Yusoff, 46, yang juga merupakan pengguna produk Maybelline.

Malah, menurutnya, sejak kecil lagi dia telah gemar bertata rias apabila melihat produk solekan kepunyaan ibunya itu.

“Pengalaman pertama saya menggunakan produk Maybelline ialah semasa mencuri-curi bermain gincu bibir ibu. Ketika itu saya masih kecil lagi dan mengambil gincu itu tanpa pengetahuan ibu saya.

“Namun, apabila besar barulah saya tahu, ibu telah lama menggunakan produk Maybelline ini. Malah sejak bergelar artis saya juga menggunakan gincu bibir Maybelline kerana sukakan warna dan tekstur yang ditawarkan pada produk ini,” katanya lagi.

Serasi bersama Randy Pangalila

Menyentuh mengenai perkembangan kerjayanya, Elfira sekali lagi bakal digandingkan bersama Randy Pangalila untuk drama siri baru yang bakal disiarkan di Astro berjudul Dalam Hati Ada Taman.

Menariknya, beberapa babak daripada drama yang akan mula menemui penonton pada Oktober ini menjalani penggambaran di Paris.

Elfira yang sudah berangkat ke negara barat itu pada Khamis lalu berkata, kali kedua berganding dengan Randy sudah mencipta keserasian buat kedua-duanya.

“Jika sebelum ini kami pernah berganding dalam drama Biar Mimpi Sampai ke Bintang, namun drama kedua ini kami masing-masing semakin serasi dengan watak baru yang diberikan.

“Malah, drama sebelum ini kami berdua banyak bergantung kepada skrip tetapi kali ini adalah lebih kepada spontan dan tercipta keserasian antara kami,” katanya yang memegang watak sebagai Bella, gadis remaja yang bekerja di Paris.

Sering berlakon di bawah arahan Michael Ang, Elfira bagaimanapun tidak mahu dianggap sebagai anak emas pengarah muda itu.

Menurutnya, kadangkala tawaran daripada pengarah itu diterima sesuai pada waktu jadualnya belum terisi.

“Saya ada juga menerima tawaran daripada pengarah lain seperti Mamat Khalid dan Datuk Paduka Shuhaimi Baba namun terpaksa menolak kerana terikat dengan drama yang masih dalam penggambaran.

“Malah, sebenarnya setiap kali jadual saya kosong, tawaran daripada Michael Ang datang tepat pada waktunya. Tambahan pula, saya tertarik menerima setiap tawaran yang diberikan kerana watak yang saya terima berlainan dan mencabar,” katanya yang bakal membintangi dua filem lagi arahan pengarah itu.

‘Lampu hijau’ untuk bercinta

Mengulas mengenai kehidupan peribadinya, Elfira yang masih dikenali sebagai pelakon remaja berimej bersih ini mengakui sudah menerima lampu hijau daripada ibunya untuk mencari kekasih. Bagaimanapun, kakak sulung kepada Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy ini merasakan masih terlalu awal untuknya mencari cinta.

“Selepas habis SPM, ibu ada bertanya jika saya teringin untuk mempunyai teman lelaki. Tetapi bagi saya, cukuplah kasih sayang yang saya terima daripada ibu dan keluarga.
“Tambahan pula, masih terlalu awal untuk saya memikirkan tentang cinta. Berkenaan teman lelaki, buat masa ini saya belum ada yang istimewa tetapi saya berkawan dengan ramai orang,” katanya yang tidak pernah merahsiakan apa-apa daripada ibunya.

Menurut pelakon yang kini popular dengan drama bersiri Jangan Ambil Padang Kami ini, dia mahu menumpukan perhatian kepada pelajarannya dalam kursus Entertainment Art di Kolej Damansara Utama dan juga bidang lakonan.

Ingin bergelar pelakon versatil yang mampu membawa sebarang watak, Elfira berhasrat mempelajari pelbagai perkara dalam bidang seni demi tuntutan minatnya itu," katanya.
Nota : Buat pertama kalinya Cinta mengenali Elfira Loy semasa menonton drama SyurgaMu Ramadhan Elfira sangat menyerlah dengan lakonannya.Sebenarnya Cinta memang minat sangat dengan Elfira Loy.Harap-harap satu hari nanti dapat bertemu dengan pelakon comel ini.

No comments:

Post a Comment