Thursday, May 3, 2012

Detik Bersejarah Watie Elite, Joey - Cinta



Setelah dilanda kontroversi gara-gara merahsiakan perkahwinan mereka, Watie (Elite) dan Joey (Exist), akhirnya mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka kepada umum.

Ketika ditemui di majlis resepsi yang diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, 1 Mei lalu, pemilik nama Norwati Sadali ini menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk berselindung mengenai perkara itu.

Menurutnya, dia dan Joey mempunyai sebab mengapa mereka enggan mendedahkan berita pernikahan mereka ketika itu.

“Sebenarnya, memang kami ingin berkongsi bersama semua pihak mengenai berita gembira ini. Namun, ada sesuatu yang membuatkan kami merahsiakannya,” katanya turut diakui Joey.

Telah mendirikan rumah tangga selama lima bulan, Watie dan Joey sebenarnya selamat bernikah pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa dengan berwalikan adiknya, Mohd Nor Azni Sadali.

Bercerita mengenai detik bersejarah itu, Watie berkata, dia tidak pernah menyangka akan menjadi isteri kepada Joey dalam masa terdekat.

“Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai majlis pernikahan yang dilangsungkan. Ketika itu, memang Joey ada mengatakan hendak menghantar keluarga dia bertemu dengan keluarga saya, tetapi saya ingatkan hanya majlis merisik sahaja.

“Sebaliknya, ketika tiba di rumah, kakak menyuruh saya supaya bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik. Apa yang paling mendebarkan, di saat itulah saya tahu bahawa rombongan lelaki yang datang sebenarnya untuk tujuan pernikahan,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Sementara Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud berkata, dia sengaja merahsiakan perkara itu kepada Watie kerana ingin membuat kejutan kepadanya.

“Hampir dua bulan saya menyorokkan perkara ini daripada dia, bahkan segala urusan untuk bernikah, saya yang uruskan. Tetapi, keluarganya telah mengetahui mengenai rancangan saya ini. Cuma dia sahaja yang tidak tahu.

“Bagaimanapun, saya lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan kini, kami bahagia menjadi pasangan suami isteri,” katanya.

Kontroversi mengenai hubungan pasangan ini bermula apabila dikatakan menjalin hubungan sewaktu terlibat dalam sesi penggambaran drama bersiri, Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor.

Joey yang merupakan vokalis kumpulan Exist mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5 tahun hasil perkahwinannya yang lalu bersama bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir.

Manakala Watie pula mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial, 5 tahun hasil perkahwinannya sebelum ini.

Hadir sama memeriahkan majlis itu kerabat diraja Pahang, Datuk Tengku Kamaruzzaman. Sebagai kejutan, Tengku Kamaruzzaman telah menaja percutian ke Pulau Tioman kepada pasangan pengantin ini sebagai hadiah berbulan madu.

Sementara itu, rakan artis yang meraikan perkahwinan mereka termasuklah Mawi dan Ekin, Haiza, Maya, Zain Saidin, Sasha (Elite) dan Zila Bakarin.

Menariknya, majlis resepsi Watie dan Joey turut dikongsi bersama Azza Elite dan suaminya, Azlan Zulaily.

Watie yang anggun mengenakan busana pengantin daripada rona emas memberitahu berasa teruja dapat bersanding dengan rakan baiknya itu.

“Alhamdulillah, syukur sangat bila ada yang menaja majlis perkahwinan ini lebih-lebih lagi ia dikongsi bersama kawan baik sendiri.

“Bagaimanapun, saya memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua rakan-rakan di majlis ini,” katanya yang bakal menyertai karnival perkahwinan pasar raya di Mydin Subang Jaya, pada 7 Julai ini.


Afif sayang Joey

Ditanya mengenai penerimaan anaknya, Afif terhadap Joey, Watie berkata, hubungan mereka dilihat cukup baik sepanjang kehadiran Joey dalam hidup mereka.

“Alhamdulillah, Afif sangat suka dan sayangkan Joey. Malah, dia kelihatan selesa dengannya, mereka juga sering meluangkan masa bersama.

“Saya masih ingat, Afif pernah berkata, mahu namanya berbinkan Joey. Walaupun dia masih kecil, saya yakin dia juga mahu melihat saya bahagia,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan bagaimanakah dia menambat hati anak Joey, Watie menjelaskan, dia tidak mempunyai masalah untuk melayan Zidani.

“Dia juga masih kecil dan memerlukan seorang ibu. Saya juga rapat dengannya. Sama seperti Joey, kami sentiasa mempunyai masa bersama,” katanya.


Tidak bahagi kasih sayang

Berbicara mengenai hubungan Joey dan anak Watie pula, Joey mengakui dia tidak pernah membezakan kasih sayang antara Afif dan Zidani.

“Buat masa sekarang keduanya anak saya. Kasih sayang terhadap mereka sama sahaja. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk membahagikan kasih sayang yang ada.

“Apa yang penting, saya dapat menjadi seorang bapa yang baik kepada Afif dan Zidani. Meski pun saya bukan ayah kandung Afif, namun itu bukanlah alasan untuk saya melebihkan anak saya sendiri,” katanya.

Jelasnya, dia yakin jika diberikan layanan serta kasih sayang yang cukup, Afif akan menerima dia seadanya.

“Saya tidak mahu sebarang jurang terbentuk dalam keluarga baru kami. Masing-masing mempunyai tanggungjawab.

"Cuma, doa saya agar hubungan yang terjalin ini diberkati dan sentiasa dilimpahkan rezeki,” ujarnya.


Bulan madu bawa anak

Sempat mengusik pasangan ini mengenai perancangan bulan madu mereka, baik Watie mahu pun Joey turut ketawa besar.

Ujar mereka, walaupun berkesempatan berbulan madu namun ianya bukanlah seperti pasangan pengantin baru yang lain.

“Kami masing-masing telah mempunyai anak. Jadi, mahu tak mahu terpaksa membawa mereka bersama. Jika tidak dibawa, dikata pula kami tidak sayangkan mereka.

“Nak buat macam mana, terpaksa terima. Bulan madu akan datang juga sama, kemungkinan Afif dan Zidani akan turut serta. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan,” kata mereka mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment