Sunday, May 13, 2012

Cuba Pelbagai Watak Diana Danielle Dan Siti Saleha - Cinta

MEMILIKI kecantikan unik hasil perkahwinan campur dianggap satu kelebihan buat dua dara jelita ini, Diana Danielle Danny Beeson, 21, dan Siti Saleha Mohd Baharum, 22, untuk mencipta nama dalam bidang seni.
Buktinya, nama Diana mula menambat hati peminat apabila muncul dalam drama bersiri Airmata Maria. Populariti diraih membolehkan pelakon berdarah Melayu-Amerika ini beraksi di layar perak. 

Dalam tempoh lima tahun pembabitannya dalam seni, Diana membintangi 10 filem antaranya Maut, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Magika, ...Dalam Botol, Azazil dan Hanyut.

Perkara sama turut dilalui Saleha. Selepas drama bersiri dibintangi, Nora Elena bersama Aaron Aziz mendapat sambutan, adik kepada penyanyi utama kumpulan Bunkface, Sam ini mula menjadi buruan penerbit filem.


Antara karya layar lebar dibintangi termasuklah Zombie KL, Pak Pong, Bravo dan Kerat 14. Kini pelakon berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini sedang menanti penggambaran filem terbarunya, Cinta Manis.

Perkembangan kerjaya dua aktres ini membuktikan penerimaan umum terhadap mereka semakin baik, tidak seperti dulu apabila rata-rata pelakon berdarah kacukan atau lebih popular dengan gelaran ‘mat saleh’ sering merungut tawaran untuk mereka tidak banyak dan watak diberi agak terhad.

Ditemui di sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad, Saleha akui kenyataan itu. Katanya, setakat ini watak ditawarkan kepadanya banyak yang pelbagai dan ini memberinya lebih peluang untuk menonjolkan bakatnya.

“Waktu mula-mula membintangi drama 5 Jingga, saya akui agak payah untuk menyesuaikan diri terutama dari sudut pertuturan. Bagaimanapun, saya beruntung kerana watak dipegang memang menggambarkan saya anak kacukan Inggeris. Selepas itu, saya mula belajar dan memperbaiki segala kelemahan.

“Pada saya, Nora Elena banyak mengubah persepsi umum mengenai diri saya dan juga kemampuan dalam lakonan. Ini kerana watak Nora Elena itu sendiri mengubah saya tidak kelihatan seperti anak orang putih dan lakonan saya sendiri langsung tidak nampak ‘mat saleh’.

“Saya yakin apabila seorang pelakon berdarah kacukan itu mampu membuktikannya dengan bakat, soal tawaran kurang dan watak terhad tidak lagi timbul,” katanya.

Diana pula yakin seorang pelakon itu hanya akan bertahan dengan bakat kerana kecantikan dimiliki tidak akan kekal. Katanya, tidak kira pelakon berdarah kacukan atau tidak, tapi kalau kerjaya lakonan stereotaip ia tidak akan membawanya ke mana-mana.

“Setiap kali berlakon, saya pastikan watak dibawa berbeza agar penonton menilai sendiri. Syukur sepanjang pembabitan saya dalam bidang lakonan seawal usia 16 tahun, pelbagai watak sudah ditawarkan. Saya gembira kerana orang tidak melihat saya dari sudut fizikal semata-mata tetapi bakat dalam menzahirkan setiap watak,” katanya.

Pelakon yang kini hangat menjalin cinta dengan aktor Farid Kamil turut menegaskan, sekiranya bakat ditampilkan tinggi dalam setiap karya dilakukan, kecantikan itu akan terserlah.

Katanya, Meryl Streep yang menang Aktres Terbaik di Anugerah Academy sebanyak tiga kali yang juga idolanya, sangat dikagumi kerana lakonannya walaupun tidak cantik berbanding aktres Hollywood lainnya.

“Sebagai pelakon kacukan, saya akui masih janggal sekiranya diberi peranan gadis kampung. Bagi saya ia bukan saja tidak sesuai dengan penampilan malah saya kurang mahir dengan gaya hidup luar bandar.

“Memanglah untuk mengubah wajah saya menjadi gadis kampung boleh dilakukan dengan teknik solekan, tetapi untuk memaparkan corak hidup gadis desa itu yang perlu saya dalami.

“Bimbang sekiranya ia tidak kena gaya boleh mengundang rasa sensitif.
Begitupun, pada saya ia satu cabaran dan sebagai pelakon, sekiranya diberi watak sedemikian, saya akan berusaha untuk mendalaminya agar lakonan benar-benar hidup,” katanya.


Enggan cerita soal peribadi

BERTEMU Saleha, ternyata gadis yang mewarisi darah Inggeris dari sebelah ibunya ini peramah dan mudah didekati. Tanyalah apa saja soalan pasti akan dijawabnya dengan penuh jujur. Kata pelajar Inti College dalam jurusan komunikasi ini dia tidak mahu berbohong kerana enggan dituduh hipokrit.

Begitupun tegasnya, kejujuran diberikan ada hadnya selagi ia tidak melanggar batas peribadi dan perkara itu akan dimaklum lebih awal agar semua pihak memahami.

“Saya tahu sebagai artis, memang saya hak masyarakat dan peminat ingin tahu, tetapi tidak semua boleh saya kongsi. Cukuplah saya katakan sekadar mereka tahu siapa saya. Contohnya, saya akui sudah mempunyai teman lelaki. Tidak mahu menyorok perkara benar kerana bimbang kelak ada yang nampak kami berdua, ia menjadi gosip yang kurang enak didengar.

“Apabila saya beritahu sudah punya teman lelaki, diharap umum faham apabila terserempak dengan kami. Tapi cukup sekadar itu dan saya tidak akan bercerita lebih siapa kekasih saya, apa namanya atau kerja di mana. Pada saya, ia terlalu peribadi dan tidak mahu privasinya pula diganggu gugat.

“Begitu juga dengan hal peribadi, selama ini saya selalu berterus-terang bahawa kedua ibu bapa bercerai dan kami dibesarkan oleh ayah. Cukup setakat itu saja yang umum perlu tahu, janganlah sampai mahu bertemu ahli keluarga dan bertanya. Atau ada yang mahu datang ke rumah mahu mengadakan sesi fotografi.

Pada saya, ia sesuatu cukup peribadi dan tidak seharusnya membabitkan ahli keluarga lain,” katanya yang mahu cerita membabitkan kerjaya seninya saja ­diketengahkan.

Kesibukan dengan kuliah menyebabkan Saleha kini mengurangkan aktiviti lakonan sebaliknya sedang merancang untuk memberi tumpuan kepada lakonan filem dan model untuk iklan beberapa produk. Terbaru, Saleha baru saja memperbaharui kontrak sebagai bintang Enchaunter dan menandatangani kontrak sebagai duta Palmolive. 

Sebagai pendatang baru, Saleha mengakui bertuah kerana digandingkan dengan pelakon berpengalaman dalam setiap drama dan filem seperti Aaron, Fauzi Nawawi, Adi Putra dan Remy. Walaupun usianya dengan mereka jauh berbeza, peluang yang datang digunakan untuk memantapkan lakonan dan waktu sama menimba ilmu sebanyak mungkin daripada mereka. 


Ibu tidak halang hubungan Diana dan Farid

PELBAGAI cerita kurang enak membabitkan Diana dan Farid timbul kebelakangan ini. Ada cerita mengatakan pelakon utama filem Azazil arahan Kabir Bhatia itu lari dari rumah gara-gara ibunya tidak setuju dengan hubungan mereka. Ibunya juga dikatakan banyak mengongkong Diana, sampaikan ada pihak media mahu merakamkan gambar mereka berdua tidak dibenarkan.

Bertemu gadis berperwatakan manja ini, Diana menjelaskan semua perkara berlaku tidak ada kena mengena dengan ibunya. Malah hubungannya dengan Farid masih intim dan ibunya tidak pernah menghalang apatah lagi mencampuri urusan mereka berdua.

“Cerita yang mengatakan ibu menghalang dan tidak membenarkan kami bergambar berdua juga tidak benar. Ia memang datang dari saya sendiri. Tindakan ini saya ambil kerana berasakan kurang manis apabila hubungan cinta kami digembar-gemburkan. Lainlah jika kami sudah berkahwin.

“Perkara ini juga sudah saya jelaskan kepada Farid dan dia memahami. Kami tidak bergaduh dan jauh sekali sudah memutuskan hubungan. Cuma pada saya, cukuplah peminat tahu yang kami bercinta tetapi tidaklah selalu muncul di media, takut nanti lama-lama orang meluat.

“Pada saya hubungan kami biarlah menjadi sesuatu yang privasi untuk kami.
Kalau ia turut dijadikan paparan umum, sudahnya apa lagi yang tinggal untuk kami berdua,” katanya.

Memandangkan Farid kini aktif mengarah filem, tidakkah Diana mahu bekerja dengan buah hatinya itu seperti apa yang dilakukan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani sebelum ini.

Kata Diana, dia tidak akan mencampuradukkan hal peribadi dan kerja. Akuinya, kalau orang bercinta agak susah kerja bersama.

“Saya kenal diri saya dan waktu sama saya cukup kenal dengan Farid. Dia orangnya sangat tegas di lokasi. Bimbang nanti kalau dia tegur, saya akan terasa kerana saya memang agak sensitif.

“Kalau perkara begini berlaku akan menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Pada saya, sebagai kekasih yang sama-sama menceburi bidang ini, kami faham situasi sebenar bekerja. Tidak mahu pula kerana kerja, hubungan kami berantakan.

“Begitupun, sebagai orang yang rapat dengan Farid, saya selalu menyokongnya dari belakang. Kalau keluar sesekali kami akan berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai apa saja karya yang ingin kami lakukan. Rasanya perkara seperti ini lebih sihat untuk hubungan kami berdua,” katanya.

No comments:

Post a Comment