Thursday, April 16, 2015

Cara Melibatkan Isteri Dalam Pengurusan Kewangan Keluarga

ANTARA sebab yang dikenalpasti kenapa isteri seringkali kurang terlibat dalam pengurusan kewangan keluarga secara aktif adalah disebabkan oleh masalah komunikasi. Suami dan isteri mempunyai pandangan, cara menangani dan pencapaian yang berbeza dalam hal kewangan. Ini disebabkan setiap individu dibesarkan dalam latar dan situasi kewangan yang berlainan.

Sudah tentu mana-mana isteri sekalipun di dunia ini menginginkan yang terbaik untuk keluarganya. Tiada yang dia lebih ambil berat selain kesihatan, pendidikan dan kemandirian ekonomi keluarga. Cuma dari segi persefahaman dan kerjasama menguruskan kewangan sahaja yang sedikit kurang erat.

Saya seringkali melihat senario dimana suami adalah tonggak tunggal pengurus kewangan keluarga. Malah ada di antara isteri yang menyerahkan sepenuhnya tugas ini kepada suami. Ini bukanlah keadaan yang ideal. Seharusnya situasi ini ditangani bersama. Inilah kehidupan. Inilah bukti kebertanggungjawaban suami isteri terhadap keluarga.

Mungkin beberapa cara di bawah boleh anda pertimbangkan dalam usaha melibatkan isteri dalam pengurusan kewangan keluarga..

Adakan Mesyuarat Kewangan Bulanan
Mempunyai, mengatur dan mengadakan mesyuarat atau perjumpaan bulanan yang membincangkan hal-hal kewangan sahaja. Sebulan sekali atau dua bulan sekali atau tiga bulan sekali. Saya paling cadangkan ia diadakan sekali dalam tempoh tiga bulan. Ini merupakan jangkamasa yang sederhana panjang.
Ajak isteri duduk bersama dan bincangkan perkembangan semasa kewangan keluarga. Daripada hal-hal kecil sehingga yang besar-besar. Dari wang saku anak-anak, menambah pendapatan keluarga, niai bersih keluarga dan matlamat kewangan yang dihajatkan. Minta pendapat isteri dan fikirkan bersama penyelesaian-penyelesaian yang mungkin.

Tetapkan Matlamat Kewangan Keluarga
Seharusnya anda dan isteri menerapkan kedua-dua matlamat kewangan jangka panjang dan matlamat kewangan jangka pendek bersama-sama. Terangkan kepadanya apakah makna kedua jenis matlamat kewangan ini. Setelah itu, secara berasingan tulis matlamat-matlamat anda masing-masing. Kemudian, bincangkan bersama dan gabungkan kedua-duanya. Anda akan dapati, ada di antara matlamat kewangan isteri anda itu yang tidak penting bagi anda tetapi amat bermakna buatnya. Jadi jangan abaikan itu.

Cipta Sistem Perbelanjaan Keluarga
Adakah anda mempunyai bajet untuk keluarga anda? Dimana bajet ini menjadi garis panduan perbelanjaan keluarga anda? Adakah anda sudah menetapkan jumlah wang yang boleh dibelanjakan oleh anda dan isteri dalam sebulan?

Misalnya menetapkan RM300 sebagai amaun wang yang boleh dibelanjakan oleh anda dan isteri tanpa perlu berbincang. Kiranya ia adalah wang peribadi yang boleh digunakan untuk membeli apa sahaja. Ada keluarga yang menetapkan lebih rendah dan ada yang lebih tinggi. Carilah mana yang sesuai untuk anda.

Sesetengah keluarga menggunakan ‘sistem sampul surat’ untuk mengawal perbelanjaan manakala yang lain menggunakan ‘sistem penggunaan limit terhad kad kredit’. Saya secara peribadi amat mengalakkan anda mengggunakan sistem pengurusan perbelanjaan menggunakan sampul surat. Ia efisen dan mudah.
Berjumpa Perancang Kewangan Bersama-Sama

Ini satu lagi cara yang amat berkesan untuk melibatkan isteri dalam pengurusan kewangan keluarga. Terutama untuk anda yang mempunyai isteri yang memang tidak begitu mengambil berat soal kewangan. Dapatkan bantuan professional untuk memberi kesedaran kepada orang rumah anda. Barangkali ada di antara perkara kewangan dimana isteri anda perlukan penerangan konsep yang lebih jitu. Perancang kewangan anda boleh melakukannya.

InsyaAllah minda dan minatnya akan berubah. Sekali lagi saya ingatkan, pastikan hanya mereka yang mempunyai kelayakan sahaja dan bukannya
penasihat pelaburan. Sila rujuk artikel saya menerangkan kelayakan penasihat kewangan ini untuk lebih pasti.

Sebagai penutup, perancangan kewangan keluarga bukanlah merupakan suatu daripada pilihan pada hari ini. Ia adalah satu hal yang penting. Kalau boleh ditambah – mandatori. Kesilapan kecil pun boleh mengakibatkan masalah kewangan keluarga yang serius dan memberi kesan dalam banyak bentuk.

CINTA : Jadi rancangkanlah kewangan keluarga anda dan rancangkannya bersama isteri anda. Bak kata pepatah lama ini, ‘dua orang adalah lebih baik daripada seorang’. Ia memang terpakai dalam kebanyakan perkara.
Kongsikan pendapat anda melalui komen dan terima kasih kerana membaca post ini.





No comments:

Post a Comment