Friday, April 17, 2015

Apa Makna Wanita Cantik Pada Lelaki


Memang betul semua lelaki mahukan pasangan yang cantik. Tetapi benarkah cantik itu yang akan mereka nilaikan apabila bergelanggang di pentas rumahtangga nanti? Artikel kali ini cuba merungkai citarasa dan nilaian kaum lelaki terhadap kecantikan.

Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Seorang yang mahu memilih perhiasan rumah, pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada cantik. Makin cantik, makin tinggi harganya.

Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.

Tetapi awas.

Cantik pada nilaian seorang lelaki akan terus berubah apabila memasuki dunia perkahwinan. Dunia yang kerapkali menjadikan si cantik tidak menang dengan hanya bermodalkan cantik. Kerana itu perlu difahami dengan jelas, bahawa perkahwinan itu bukan hanya cerita dalam bilik tidur.

Bukan hanya pada kemanjaan, lemah gemalai, ketawa mengusik, berwangi-wangian, bersolek, berdandan dan sebagainya. Perkahwinan adalah suatu ranjau yang luas. Tidak mungkin ditempuh dengan seronok-seronok sahaja.

Maka si cantik yang hanya bermodalkan cantik, bakal tersepit apabila semakin lama menjadi ahli kepada dunia rumahtangga.

Kalau sebelum berkahwin, rengekan manjanya sudah cukup menjadikan si lelaki mengalah, selepas berkahwin mungkin tidak lagi. Kalau sebelum berkahwin, berlagak comel itu dilihat sebagai comel, selepas berkahwin ia mungkin lebih ditafsirkan sebagai mengada-ngada.

Jangan salah faham. Ia sama sekali bukan disebabkan oleh faktor bosan, jemu dan yang sewaktu dengannya.
Ia soal praktikal. Soal realiti. Soal tindakan, bukan teori.

Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri. Anda berdandanlah sehebat mana sekalipun, jika anda gagal menyelami perasaan sang suami, pada dia anda tiada erti.

Semburlah perfume sebanyak mana sekalipun ke tubuh anda, jika anda tidak pandai mengurus atur rumah dan memastikan rumah anda kemas, bersih dan tersusun setiap masa, maka pada suami, anda seolah tiada erti.

Kerana apa?
Kerana mereka menganggap isteri mereka sebagai teman, kawan dan orang yang sama-sama berperanan. Bukan model. Bukan ratu. Bukan permaisuri.

Tetapi anda mungkin beruntung jika takdirnya anda bersuamikan lelaki yang tahap sabarnya luar biasa. Mungkin pada satu tilikan, ia kelihatan seperti ‘kesabaran’ yang luar biasa. Tetapi pada tilikan yang lain, dia sebenarnya mungkin malas melayan sikap negatif anda, atau sentiasa mengalah walaupun tidak suka dengan perangai anda. Mungkin untuk jangka masa pendek, ia kelihatan ok. 

CINTA : Tetapi untuk jangka masa panjang, perlu juga disedari bahawa pasangan anda itu manusia dan bukannya malaikat.



No comments:

Post a Comment