Saturday, April 11, 2015

Apa Itu HIV

Apa itu HIV (Human Immunodeficiency Virus) ?

HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Terdapat 2 jenis virus HIV iaitu HIV-1 dan HIV-2. HIV-1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai manakala HIV-2 pula tidak begitu berbahaya. HIV menyerang Sistem daya tahan badan, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif HIV tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS kerana AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.
                                 
Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.
                                 
AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome - Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit)

AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang positif HIV. Dengan lumpuhnya keupayaan tubuh, mereka yang dijangkiti HIV lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal. Di antara penyakit-penyakit ini termasuklah jangkitan-jangkitan oportunistik (iaitu yang mengambil kesempatan) seperti radang paru-paru, batuk kering, thrush (selaput putih pada lidah dan dalam mulut), beberapa jenis barah dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap.

AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa:

Fasa 1:  Bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu.

Fasa 2:  Di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu.

Fasa 3:  Membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisme pertahanan tubuh.

Fasa 4:  Pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar ‘infeksi oportunistik’ seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi.

Fasa 5:  Pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisme pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.

Mengapa perlu melakukan ujian HIV awal?

Pengesanan jangkitan HIV yang awal boleh menyebabkan anda mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan boleh melangsungkan hidup lebih lama. Malah anda boleh mengelak daripada memindahkan virus HIV kepada pasangan kesayangan anda dan orang lain.

Satu lagi sebab yang sangat penting ialah anda boleh menentukan sama ada selamat atau tidak untuk hamil.
Pilihan untuk menjalani Ujian Antibodi HIV terletak di tangan anda sendiri. Yang pasti, mengetahui keputusan ujian tak kiralah positif atau negatif akan lebih mententeramkan jiwa anda daripada terus gelisah tanpa mengetahui situasi yang sebenar.

Walaupun keputusan adalah positif, terdapat rawatan untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan anda boleh hidup lebih lama. Jadi ujian HIV awal sangat-sangat penting.

Penyembuhan penyakit HIV/AIDS

Masih tiada lagi ubat atau rawatan untuk menyembuhkan HIV/AIDS. Walaubagaimanapun terdapat ubat dan rawatan untuk melambatkan proses penyakit ini.

Info Rawatan:
Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit seperti ubat antiretrovirus yang menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV.

Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan AIDS/HIV.

Sejak akhir tahun 1980-an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan ubat antiretroviral ke dalam rejimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.

Kombinasi tiga atau lebih ubat antiretroviral yang biasanya dipanggil ‘dadah koktel’ didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti dengan cara memperlahankan perebakan HIV.

Lain-lain termasuklah perencat protease, Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI) serta gabungan ubat-ubatan di atas.

Di samping terapi ubat-ubatan dan kaunseling, pemakanan yang sihat boleh menyumbang ke arah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS.

Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV.

Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan.

Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.

Terdapat bukti yang kukuh mengenai senaman yang dapat memperbaiki mood dan kualiti hidup individu positif HIV – menjadikan mereka lebih kuat, meningkatkan daya ketahanan dan melindungi mereka daripada infeksi.

Pencegahan AIDS memerlukan disiplin dan kekuatan diri. Keperluan ini kadang-kadang sukar untuk dipenuhi tetapi ia berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.

Pertubuhan atau organisasi berkaitan HIV/AIDS
Pertubuhan atau organisasi berikut boleh membantu anda.

~Majlis AIDS Malaysia / Malaysian AIDS Council
~Kuala Lumpur AIDS Support Services (KLASS)
~Women and Health Association of Kuala Lumpur (WAKE)
~Malaysian CARE
~Hospital Kuala Lumpur

CINTA : Ramai yang tidak tahu dengan jelas apakah HIV, semoga artikel kali ini dapat membantu anda dengan labih jelas lagi mengenai penyakit HIV

No comments:

Post a Comment