Monday, April 9, 2012

VIDEO: Sketsa Ombak Rindu ABPBH 2011 Yang Syahdu - Cinta

Malam tadi sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) berlangsung, penonton disajikan dengan sketsa filem Ombak Rindu yang mengutip lebih RM10 juta ringgit di pawagam baru-baru ini.
Kemunculan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani benar-benar membuatkan penonton bersorak, sekaligus mengimbau kenangan filem cinta yang mendapat sambutan hangat itu.
Lisa, yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Yusry KRU, mendapat pujian ramai kerana berjaya membawa wataknya dengan begitu berkesan biarpun sketsa yang dilakonkannya cuma beberapa minit sahaja.
Baik, baru-baru ini Berita Harian ada menemubual pengarah sketsa tersebut yang juga pengarah filem berkenaan, Osman Ali mengenai persembahan malam tadi.
Menurutnya, sketsa itu mengadunkan beberapa babak istimewa filem itu bagi mengimbau kenangan terhadap filem terbabit.
Osman berkata, dia mahu memberikan kesan berbeza kepada penonton untuk sketsa itu walaupun mengakui ia cabaran hebat buat dirinya dan pelakon.
“Bukan sesuatu yang mudah memberikan perasaan yang sama kepada penonton dalam masa hanya kurang daripada lima minit. Jika sebelum ini, filem itu mengambil masa berbulan-bulan, tetapi untuk sketsa ini, hanya dua atau tiga kali latihan yang sempat dijalankan.
“Tapi saya tetap percaya kepada kehebatan pelakon untuk membuktikan bakat mereka. Bayangkan, sketsa itu akan dipersembahkan di hadapan ribuan peminat dan disaksikan penonton televisyen.
Mungkin ada sedikit kesilapan seperti tersasul dan sebagainya. Jadi cabaran tetap ada,” katanya.

Ditanya kelainan sketsa itu daripada filem arahannya, Osman berkata, ia akan mengalami perubahan dari segi gubahan muzik untuk lagu Ombak Rindu itu sendiri selain banyak menggunakan pencahayaan untuk menaikkan mood teater.
“Untuk sketsa ini, kita akan menggunakan muzik orkestra yang dipimpin Datuk Ramli MS agar penonton lebih merasainya,” katanya.
Osman berkata, dia menggunakan babak sedih supaya selari dengan pencahayaan serta lagu yang digubah nanti.
“Sememangnya, saya akui, untuk sketsa ini, saya tidak boleh memberikan impak yang sama seperti filem, tetapi ia akan memetik perasaan yang sama,” katanya

No comments:

Post a Comment