Tuesday, April 10, 2012

Siti langgar pantang - Cinta

Sudi bertanding demi menghormati sambutan 25 tahun ABPBH

WANITA yang cukup dikenali ramai ini pernah mengumumkan penarikan dirinya daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular pada majlis anugerah edisi ke-23, kira-kira dua tahun lalu.


Masih terngiang-ngiang di telinga ucapannya itu, bagai baru semalam ia dilafazkan penyanyi yang juga pengusaha produk kecantikan ini.


Peminat sendiri amat maklum, Datuk Siti Nurhaliza berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada artis lain untuk sama-sama berkongsi kemanisan pengalaman menggenggam trofi idaman ramai berkenaan, seterusnya menggalakkan lagi perkembangan industri seni hiburan tanah air. 

Bagaimanapun, kelmarin, bertempat di lokasi cukup bersejarah buatnya, Arena of Stars, Genting Highlands, penyanyi yang lebih sedekad mengungguli kategori penyanyi wanita pada anugerah berprestij ini ‘melanggar pantang’ apabila kembali mendaki tangga pentas ABPBH untuk menerima trofi yang dipertandingkan.

Bezanya, kali ini dia menggenggam Anugerah Seri Perak, kategori yang diadakan khas sempena 25 tahun ABPBH. Pada Ahad lalu, Siti buat kesekian kali berdiri di podium dan berucap sebagai 
pemenang, selepas menewaskan 11 lagi bekas pemenang Bintang Paling Popular yang dicalonkan dalam kategori istimewa terbabit.

Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini. - Datuk Siti Nurhaliza

Anggun dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini, Siti berkata, dia sedia bertanding pada kali ini sebagai menghormati usaha Berita Harian, yang meraikan sambutan jubli perak anugerah yang banyak meninggalkan kenangan indah buat dirinya. 
Bagaimanapun, selain anugerah khas itu, isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tetap berpegang teguh kepada keputusannya, untuk tidak bertanding lagi pada ABPBH.

"Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini.


"Namun sejujurnya, saya tidak menyandarkan sebarang harapan untuk menang. Saya tetap berdebar menantikan keputusan dan ia tindak balas semula jadi setiap kali menyertai pertandingan.

"Malah, saya sendiri bagai tidak percaya ketika diumumkan sebagai pemenang. Disebabkan itu, sewaktu nama saya disebut, saya agak lambat bangun untuk mengambil trofi," katanya yang turut diberikan penghormatan sebagai artis pembuka tirai malam kemuncak, bersama-sama Stacy dan Alyah.

Selain Siti, turut dicalonkan dalam kategori itu ialah Aishah, Zainal Abidin, Eman Manan, Datin Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil dan Shaheizy Sam.

Siti yang melangkah ke dunia nyanyian pada usia 16 tahun, memenangi trofi pertama Bintang Paling Popular pada ABPBH1996. Pada edisi sama, dia juga memenangi kategori Penghibur TV Popular, Artis Remaja Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Tahun berikutnya, trofi Bintang Paling Popular mula menjadi miliknya selama lima tahun berturut-turut. Dia bagaimanapun pernah tewas di tangan Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi dan Nabil, tetapi kembali merampas gelaran berkenaan pada 2004 dan 2009.

Ujar penyanyi ini, kemenangan tidak akan menjadi miliknya tanpa peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

"Trofi ini ialah hadiah di atas sokongan peminat setia saya. Lebih istimewa, trofi ini hadir pada saat saya baru saja meraikan ulang tahun ke-17 pembabitan dalam dunia nyanyian. Sesungguhnya saya amat bertuah kerana mempunyai peminat seperti mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan kesetiaan peminat buat tempoh waktu yang lama," katanya.

No comments:

Post a Comment