Monday, April 9, 2012

Sheila lamar Najwa, Yuna - Cinta


DUA tahun penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 mencari namun belum ada satu pun yang mampu menyentuh jiwanya. Karya diperoleh bukan tidak mampu diterima akal, cuma beliau sendiri mengakui dirinya seorang yang cerewet.
Sikap ‘kesempurnaan’ dan selektif itu disebabkan rasa tanggungjawabnya kepada masyarakat kerana melodi dan lirik yang bermesej mampu membentuk pemikiran pendengar.

“Baru-baru ini di rumah, saya bertanya kepada anak saya lagu apa yang dia dengar asyik menyebut perkataan ‘ass! ass! ass!? Mulanya saya sangkaan CD rosak dan dia maklumkan kepada saya itu adalah lagu Nicki Minaj. Saya menegur anak saya dan bertanya lagi, adakah dia faham akan maksud lirik lagu itu dan dia kata dia sukakan lagu berkenaan kerana muziknya yang ‘up beat’.

“Tengok budak-budak zaman sekarang, mereka sudah tidak peduli soal melodi dan lirik kerana perubahan ‘trend’ muzik merangsang selera mereka pada lagu-lagu disko yang mengabaikan mesej kesedaran. Apabila lagu-lagu yang menerapkan unsur-unsur seks, lucah dan keganasan tidak dikekang, ia akan membentuk pemikiran yang negatif sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar.


“Tidak seperti zaman saya dulu, di mana melodi dan lirik sesebuah lagu bukan saja menyentuh perasaan kita tetapi menjadi inspirasi dalam kehidupan sehingga terdorong untuk membelinya.

“Sekarang, kalau saya sedang memandu sampai ke rumah pun tiada satu pun lagu yang boleh buat saya ingat pada melodinya,” komen Datuk Sheila Majid, 47, berhubung keampuhan lagu-lagu sekarang.

Mengakui payah menemukan lagu yang sesuai namun Sheila pasti masih ada pencipta lagu yang berbakat, mungkin mereka pula bagaikan tidak yakin menyerahkan lagu kepada beliau.

Ditanya siapakah komposer yang dilihat berpotensi sekarang ini, pelantun lagu Sinaran itu tanpa berselindung mahu bekerjasama dengan dua komposer yang juga penyanyi muda berbakat besar iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna.

“Waktu kami bertemu di Anugerah Industri Muzik (AIM) tidak lama dulu, saya ada melamar mereka untuk terbabit dalam projek album baru saya dan minta mereka buatkan lagu untuk saya.

“Tetapi kedua-duanya membalas ‘Are you sure Datuk?’ saya kata betullah, kalau tak betul buat apa saya cakap dengan kamu berdua dan mereka ketawa kecil namun masih segan-
segan,” katanya.

Melodi dan lirik perlu diganding sempurna bagi Sheila kerana jika salah satunya lemah, lagu itu tidak dapat dihayati dengan baik. Peranan penyanyi pula bukan sekadar menyanyi tetapi sebagai pencerita. Justeru, jika mereka memperoleh sesebuah lagu, mereka berhak untuk memberi ‘input’ mengenai apa yang mereka rasakan terhadap lagu itu.

“Masa saya rakamkan lagu Ku Mohon yang ditulis oleh Mac Chew, lirik awalnya berkisar cinta. Namun selepas menghayati melodinya merasakan ia lebih sesuai dipadu dengan lirik yang mengagungkan kebesaran Yang Maha Esa.

“Saya berbincang dengan Mac dan berkongsi apa yang saya rasakan mengenai melodi lagu itu. Mac berkata, kalau itu yang saya rasakan, dia cadangkan saya yang menulis sendiri liriknya kerana ia lebih dekat apabila menyanyikannya nanti.

“Begitulah bermulanya pengalaman pertama menulis lirik. Bagaimanapun dalam membentuk kesempurnaannya, Mac membantu saya mencantikkan jalan cerita yang hendak disampaikan.

“Sama seperti masa mula-mula mendapat lagu Lagenda, ia adalah sebuah lagu rancak. Pun begitu, dengan melodi dan lirik yang hebat, ia lebih indah dinyanyikan balada. Cuma, susunan muzik kita boleh menjadikan ia lebih dan dramatik berbanding susunan ringkas digubah Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Beralih topik pada persediaannya menghadapi konsert The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya, yang menggabungkan tiga lagi nama iaitu Jamal Abdillah, Zainal Abidin dan Amy Search bermula 5 Mei depan, Sheila akui teruja.

Idea istimewa itu dicetuskan oleh penyanyi Zainal Abidin sendiri selaku penganjur konsert mewakili iaitu Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn Bhd, membabitkan lima lokasi iaitu bermula di Johor Bahru pada 5 Mei, diikuti Kota Kinabalu (19 Mei), Kuching (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan Kuala Lumpur (30 Jun).

“Konsert ini begitu mengujakan. Saya dapat bayangkan pembabitan dalam konsert bukan sebagai artis yang membuat persembahan saja tetapi menjadi penonton kepada persembahan rakan-rakan lain.

“Zainal Abidin adalah penyanyi senior yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi penghibur yang baik. Reputasi beliau dengan penonton amat hebat. Beliau boleh berinteraksi dengan penonton dan menjadikan setiap isu diperkatakannya dalam bentuk jenaka.

“Amy Search pula, seorang yang sangat sopan bila bercakap tetapi bila di atas pentas, aura dan karismanya sangat kuat. Jamal pula, jangan cakaplah suaranya memang tersendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheila bakal mengadakan persembahan A Day with Living Legend-Sheila Majid sempena sambutan Minggu Setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini. Majlis itu akan dikendalikan oleh pengacara tidak asing lagi, Dee.

Persembahan berdurasi 45 minit itu adalah pengalaman pertama Sheila beraksi di Menara KL dan ia akan digemakan dengan seleksi pilihan lagu popularnya seperti Sinaran, Antara Anyer Dan Jakarta, Dia, Ku Mohon dan Pengemis Muda.

Rangkaian lagu-lagu berkenaan adalah seleksi lagu yang sering kali disampaikan ketika membuat persembahan justeru, isteri kepada pemuzik terkenal, Acis itu ditanya apakah beliau tidak pernah merasa bosan beribu kali menyanyikan lagu sama.

“Sebagai manusia sudah tentu saya pernah merasai perasaan itu tetapi saya tidak boleh merungut atau mengatakan bosan kerana Sinaran misalnya adalah lagu rezeki saya.

“Misalnya anda menonton persembahan Whitney Houston dan dia tidak menyanyikan lagu I Will Always Love You, pasti ramai penonton yang kecewa. Begitulah juga dilema saya apabila tidak menyanyikan rangkaian lagu-lagu hit, pasti peminat akan kecewa.

“Menjadi seorang penghibur ia bukan untuk kepuasan kita saja tetapi penonton adalah keutamaannya. Bagaimana mengelak kebosanan itu terletak pada kreativiti dalam persembahan,” katanya.

Bagi mereka yang enggan melepaskan peluang itu, tiket dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan). Sebarang pertanyaan mengenainya boleh menghubungi Siti di talian 013-3377710 atau Jojo, 012-6903058.

No comments:

Post a Comment