Saturday, April 11, 2015

Peranan Lelaki Menjaga Maruah Wanita

Islam adalah agama yang amat prihatin terhadap maruah dan kewibawaan wanita. Allah dan Rasul meminta umat Islam supaya memelihara dan melindungi wanita sebaik mungkin. Wanita dianggap sebagai makhluk Allah yang perlu dihormati dan dilindungi.

Berdasarkan kepada perspektif begini, maka Islam meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Tugas yang berat begini dipertanggungjawabkan kepada lelaki adalah berdasarkan pada fitrah ciptaan Tuhan. Manusia yang lemah perlu dibantu oleh orang kuat dan berkuasa.

Penyertaan wanita dalam aspek tanggungjawab dan peranan pembangunan ummah dan negara perlu dilihat dalam perspektif kerjasama antara lelaki dan wanita, bukan berlandaskan pada persaingan yang boleh menjurus kepada pertelingkahan gender (jantina) seperti berlaku di Barat.

Peranan dan tanggungjawab yang ingin dilaksanakan oleh setiap individu lelaki dan wanita mesti berlandaskan kepada kebolehan dan keupayaan diri supaya percanggahan dan kelemahan dalam pelaksanaan tugas tidak wujud dalam negara Islam.

Penyertaan wanita dalam melaksanakan tugas atau tanggungjawab masyarakat dan negara amat dihormati dan dialu-alukan oleh Islam jika mereka mampu dan mempunyai kebolehan setanding dengan lelaki.
Kriteria ini amat penting kerana tugas kemasyarakatan dan kenegaraan adalah bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan, kegigihan, pengorbanan dan kefahaman yang mendalam terhadap tugas dan tanggungjawab.

Kehadiran wanita Islam dalam urusan pemerintahan dan perkhidmatan negara perlu berdasarkan pada peraturan dan disiplin yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Hukum-hakam berkaitan dengan diri dan juga hal ehwal pentadbiran mesti disemat dalam hati nurani supaya kehadiran mereka dalam urusan kemasyarakatan dan kenegaraan tidak menimbulkan permasalahan yang serius sehingga boleh menjatuhkan maruah dan kewibawaan wanita dalam urusan pentadbiran negara.
Tercemar

Dalam era globalisasi, maruah dan kewibawaan wanita mudah tercemar jika mereka kurang prihatin terhadap konsep hidup Islam yang berlandaskan kepada wahyu. Peristiwa gadis terheret ke lembah dadah dan kejatuhan moral semakin hari kian menular. Peristiwa wanita lacurkan diri dengan tujuan untuk menyara anak-anak yang lapar merupakan salah satu fenomena masyarakat Islam masa kini.
Di negara-negara Islam yang miskin, kegiatan pelacuran dilakukan oleh wanita Islam walaupun perbuatan begini dikutuk dan diharamkan sama sekali oleh Islam. Wujudnya suasana begini adalah akibat daripada kurangnya kesedaran terhadap tanggungjawab hakiki kaum lelaki dalam mengendalikan urusan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Wanita Islam perlu diberi pendidikan tentang hakikat maruah dan kewibawaan diri supaya mereka tahu mengendalikan urusan diri dan kehidupan apabila berada dalam suasana genting.
Lelaki pula perlu dididik supaya menghormati dan belas kasihan kepada wanita seperti dijelaskan oleh Allah dan Rasul. Penghormatan dan belas kasihan kepada wanita bukan berdasarkan kepada hawa nafsu dan kepentingan diri. Ia lebih menjurus kepada pengorbanan dan sumbangan kepada wanita.

Peranan ulama dan cendekiawan Islam dalam pembentukan keperibadian umat Islam dalam era globalisasi adalah amat penting. Kandungan isi-isi ceramah dan tulisan perlu ditumpukan kepada didikan akidah, syariah dan akhlak mengikut perspektif Islam yang lebih luas, bukan berdasarkan kepada perasaan dan pemahaman yang berteraskan kepada adat dan budaya yang bertentangan dengan realiti atau konteks ajaran Islam.
Pandangan yang terlalu liberal sehingga boleh menggugatkan kesucian hukum-hakam perlu ditangkis supaya umat Islam tidak terkeliru dalam melaksanakan kehidupan seharian mereka sebagai umat Islam yang mendapat keredhaan dari Allah.
Dalam suasana dunia ghairah dengan kecanggihan teknologi, keimanan umat Islam kian hari semakin terhakis kerana pengaruh yang boleh mendorong ke arah hawa nafsu lebih kuat daripada pengaruh yang boleh membimbing mereka ke arah kehidupan murni dan suci.

Mangsa utama dalam mengharungi arus ini ialah kaum wanita. Mereka terheret ke kancah dosa dan maksiat akibat ketipisan keimanan dan kurang kesedaran terhadap kepentingan memelihara maruah dan harga diri.
Apabila wanita telah hilang rasa penghormatan terhadap kewibawaan diri maka corak kehidupan dan nasib mereka tidak ada bezanya dengan wanita-wanita di zaman sebelum Islam. Rasulullah s.a.w. berkorban tenaga, masa dan kepentingan diri dengan tujuan untuk menjulang maruah wanita ke puncak kehormatan secara memperlengkapkan wanita dengan undang-undang dan peraturan diri sebagai panduan untuk mengekalkan maruah dan kewibawaan mereka.

Kini kekayaan dan kemewahan dianggap sebagai matlamat hidup utama. Nilai dan harga diri bukan merupakan perkara terpenting dalam kehidupan bagi
mencapai kebahagiaan yang hakiki. Apabila hati nurani telah tersemat dengan kemewahan dan keghairahan hidup maka perkara yang terkutuk dan haram dijadikan amalan seharian. Oleh itu keturunan dan nasib anak-anak yang dilahirkan bukan merupakan perkara penting yang perlu difikirkan.

Ulama, guru-guru, ibu bapa dan para pemimpin negara perlu memainkan peranan penting bagi mengembalikan kewibawaan umat Islam. Kejatuhan moral dan kewibawaan akibat terlalu ghairah dengan kemewahan dan pangkat bukan sahaja merosakkan struktur sosial masyarakat Islam, malah ia juga boleh mendorong bangsa lain memandang rendah kepada agama Islam.

- DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

CINTA : Kepada kaum adam harus ingat peranan anda adalah sangat besar kepada wanita.Oleh yang demikina lelaki harus bersedia.





No comments:

Post a Comment