Thursday, April 26, 2012

Mahu jadi ahli perniagaan Keena Mentor - cinta

ANTARA pesona diri dan jenama dibina ketika menyertai satu program realiti, dia lebih dikenali ramai menerusi nama pentasnya. Memperkenalkan diri sebagai Keena Mentor, fikiran peminat pantas mengingat kembali populariti gadis ini bersama mentor, Awie ketika bersama mengharunginya tiga tahun lalu.
Berbanding pengalaman awal ditimba di pentas nyanyian, Keena semakin mengatur langkah mencari pelbagai peluang untuk menempatkan dirinya agar tidak ketinggalan di kalangan artis baru yang sedang mencipta nama.

Sebolehnya, dia tidak mahu istilah artis program realiti umpama mi segera dilupakan sejurus program disertai berakhir. Di kalangan peminat, Keena sebenarnya masih dekat di hati mereka kerana dia antara artis Mentor yang sibuk dengan aktiviti seni.

Gadis berusia 25 tahun ini mengatakan, dia gembira dan bersyukur kerana masih menerima jemputan mengadakan persembahan pentas untuk pelbagai acara termasuk majlis korporat.


Di sebalik fokus pada bidang nyanyian, mungkin tidak ramai yang tahu dia juga semakin aktif berlakon. Sepanjang tiga tahun menjadi artis, dia sudah membintangi 10 drama termasuk terbaru, selesai menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod, Cinta Liasari arahan Wan Cromox.

Katanya, dia masih memberi keutamaan pada nyanyian tetapi pada masa sama berusaha mengasah bakat berlakon dan memasang impian untuk mencuba bidang pengacaraan.

“Ketika ini saya masih bersama syarikat rakaman, Dream Music. Mengikut kontrak, saya sepatutnya menghasilkan dua single. Buat masa ini, saya sudah hasilkan single Cinta Luluh pada tahun lalu.

“Saya akan terbabit dalam dua single baru dan akan masuk studio untuk rakaman dalam masa terdekat. Saya sebenarnya puas apabila berpeluang mengasah bakat dalam pelbagai bidang seni.

“Selepas menyanyi dan berlakon, saya mahu mencuba nasib menjadi pengacara. Sejak tiga tahun lalu bersama Mentor, masih ada peminat yang kenal saya apabila bersua,” kata duta Celcom Kolony ini.

Keena atau nama sebenar, Suriana Ab Wahab menyatakan dia selesa berada pada tahap sekarang walaupun beranggapan kurang popular. Apa yang penting, dia berusaha mengimbangi kerjaya seni dengan bermacam-macam aktiviti dan bersyukur masih menerima peluang serta tawaran baru.

“Saya seorang yang suka mencuba perkara baru. Saya juga penulis novel dan sudah menyiapkan Cinta Luluh dan Kasih Asyikin manakala novel ketiga, Misteri Saka Tua masih dalam proses menyiapkannya.

“Saya mula menghasilkan novel ini sejak tahun lalu dan minat menulis ini bermula sejak zaman sekolah. Peluang menghasilkan novel pertama, Cinta Luluh hadir ketika saya terbabit dengan penggambaran filem Tokak, arahan Sabree Fadzil.

“Ketika itu, produser Datuk Marina Mahammad tertarik membaca cerita saya dan kemudian berminat menerbitkannya dalam bentuk novel. Apabila berpeluang menceburi penulisan novel, saya berazam mahu bekerja keras mencapai impian dan meraih kepuasan sendiri tanpa hanya mengambil kesempatan pada orang lain untuk berjaya,” katanya yang pernah menang pidato peringkat sekolah menengah.

Keena yang baru menjayakan satu acara persembahan sempena pertandingan Battle of the Bands di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras pada 22 April lalu, juga memasang impian ingin menjadi ahli perniagaan.

Katanya, dia berhasrat menceburi bidang perniagaan atas talian (online) menerusi jualan barangan rekaan sendiri seperti beg galas, aksesori badan, baju dan sebagainya.

“Sambil menyanyi, berlakon dan menulis novel, saya sempat melukis sekadar suka-suka. Tidak sangka apabila saya paparkan hasil lukisan saya di facebook, ada peminat yang suka dan mahu membelinya.

“Sejak pertengahan tahun lalu, saya mula menjual lukisan karya saya. Setakat ini, saya mempunyai 30 lukisan bermotifkan abstrak, pemandangan, hitam putih dan subjek manusia manakala tiga daripadanya sudah dijual.

“Saya sendiri paling menyukai lukisan abstrak dan komen yang saya terima terhadap karya saya suatu yang positif. Jika tiada keberatan, saya akan melancarkan perniagaan atas talian ini pada Julai nanti,” katanya yang mempunyai dua akaun facebook, Keena Mentor dan Keena Mentor II.

Mengenai drama terbaru, Cinta Liasari terbitan Juanridz Pictures Sdn Bhd, Keena membawa watak Liza sebagai isteri Imran, lakonan Buzen. Drama siaran RTM ini turut dijayakan pelakon berpengalaman, Ridzuan Hashim, Dian P Ramlee, Fazreen, Leez AF4, Sharifah Shahora, Kapten Mohd Nor dan Zazly Majid.

Katanya, dia seronok menimba pengalaman baru dalam bidang lakonan termasuk ketika menjalani penggambaran drama ini di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Port Dickson, Negeri Sembilan.


Trivia Keena


  • Mula berlakon sejak usia 18 tahun dan pernah menjadi pelakon tambahan filem Cinta Fotokopi.




  • Menyanyi sejak usia 10 tahun dan pernah menang pertandingan Bintang Kecil Negeri Kelantan.




  • Arwah datuk yang juga pemain muzik tradisional menjadi pendorong terbabit dalam bidang seni.




  • Ingin menjadi pelukis dan penulis novel sekiranya bukan penyanyi atau pelakon.




  • Sejak sekolah rendah, Keena bercita-cita mahu menjadi penyanyi dan pelakon.
  • No comments:

    Post a Comment