Tuesday, April 24, 2012

Kerja khianat motor dibakar - cinta

HANGUS...deretan motosikal yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 motosikal hangus dijilat api dipercayai angkara perbuatan khianat di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu yang ketiga berlaku sekitar ibu negara selepas Ahad lalu, enam motosikal milik penduduk dilaporkan terbakar kira-kira jam 8.30 pagi di Bandar Baru Sentul, dua jam selepas kejadian sama membabitkan dua motosikal di Flat Seri Tioman 2, Wangsa Maju.

Suri rumah, Zaleha, 46, berkata, tiga motosikal milik suami dan dua anaknya gagal diselamatkan di tempat letak motosikal perumahan itu meskipun mereka meluru ke lokasi kejadian sebaik terdengar jeritan jiran.
“Saya terkejut dan sedih kerana baru saja melangsaikan ansuran satu daripada motosikal berkenaan, malah ia adalah kenderaan keluarga untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Dia yang kerugian kira-kira RM15,000 mendakwa ada penduduk melihat kelibat sekumpulan lelaki mencurigakan yang mundar-mandir di kawasan berkenaan sebelum deretan motosikal itu terbakar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kebakaran motosikal jam 1.32 pagi di Blok 1, flat berkenaan.
“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pusat dan Pudu diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.
“Api yang marak menyebabkan 21 motosikal hangus dan menjulang setinggi tingkat tiga blok berkenaan, namun berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya jam 1.43 pagi,” katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif sebenar kejadian yang membabitkan keseluruhan 29 motosikal terbakar.
“Kami masih siasat sama ada ketiga-tiga kejadian yang berlaku dalam tempoh 24 jam itu dilakukan kumpulan sama atau berasingan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebakaran atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

No comments:

Post a Comment