Saturday, April 28, 2012

Jejai Dan Fasha Saling melengkapi - Cinta

JIKALAU sudah terpahat itulah jodoh dan ketentuan, tiada apa yang mampu meletakkan kata mustahil. Walaupun jauh terpisah, gigih merencanakan perjalanan masing-masing, namun sekiranya itu sudah dijanjikan, lari ke mana pun tetap akan bersatu jua.

Melewati tujuh tahun perkenalan termasuk tiga tahun terakhir menyemai cinta dan mencari titik keserasian, akhirnya aktres jelita, Fasha Sandha menerima lamaran daripada lelaki yang tidak lekang dikaitkan dengannya, Rizal Ashram Ramli.

Simbolik si pemilik senyuman manis yang terkenal sebagai pelakon bersama jiwa hatinya juga ahli perniagaan berjaya ini bagai penuh warna. Andaian dan teka-teki selama ini, pernikahan yang berlangsung malam tadi menjadi bukti yang meleraikan tanda tanya.

Usik Rizal yang tampak segak dengan persalinan putih yang tidak langsung mengalih pandangan kepada isteri tercinta yang manis dalam busana indah rekaan Rizman Ruzaini, inilah jodoh yang mengundang bahagia buatnya.

“Luar biasa perasaan ketika ini kerana akhirnya dia (Fasha) menjadi milik saya yang sah. Macam-macam detik yang kami lalui dan sepanjang itu juga, ia mengikat kasih sayang antara kami untuk terus mencintai dan percaya antara satu sama lain. Saya memang percayakan takdir dan jodoh, lantas keyakinan saya untuk impian membina hidup bersama berjaya direalisasikan.
“Alhamdulillah dan saya sentiasa bersyukur kepada-Nya kerana mendengar apa yang kami hajati. Doakankebahagiaan mengiringi perkahwinan kami hingga ke akhir hayat,” katanya.
Rizal sah menjadi suami Fasha malam tadi dalam majlis tertutup di Windows On KL, Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur.

Hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat dalam majlis ringkas namun penuh kemeriahan, baik Rizal mahupun Fasha menyifatkan saat itu peristiwa terindah buat mereka berdua.


Melihat isterinya sebagai pelengkap hidupnya, Rizal, 36, yang kagum dengan disiplin dan kesungguhan Fasha dalam bekerja percaya mereka mampu mencorak pelayaran rumah tangga dengan baik.

“Fasha wanita yang punya matlamat dan pendiriannya sendiri. Malah sejak awal mengenalinya, dia sememangnya memenuhi kriteria wanita pilihan saya kerana banyak minatnya yang sama dengan saya. Mungkin kerana kami bermula sebagai teman, kemudian rapat dan mula memahami baik atau kurang, saya melihat keserasian itu begitu kuat antara kami. 


“Selepas ini saya tiada halangan untuknya bergerak aktif dalam lakonan kerana itulah minat dan kariernya sejak awal berkenalan dulu,” katanya lagi.



Fasha yang baru saja menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 buat kali keenam itu bagaimanapun lebih seronok berkongsi kisah perkenalan mereka serta rasa yakinnya terhadap Rizal.



Menyifatkan Rizal seorang yang penyayang, punya sifat kepemimpinan dan matang, Fasha percaya perkahwinan ini adalah satu keputusan terbaik untuk meraikan rasa cinta mereka.



“Kami bermula sebagai sahabat dan kemudian timbul rasa sayang sebelum menyemai perasaan cinta selepasnya. Justeru, kami memupuk keserasian itu perlahan-lahan dan mengenali hati budi dengan sedalam-dalamnya. Kami berkongsi banyak minat dan persamaan membuatkan rasa selesa itu wujud antara kami sejak awal berkawan lagi.



“Rizal seorang yang bijak dan sentiasa positif setiap kali berdepan kesukaran. Menjadi sahabat dan orang paling rapat dengan saya, dialah rujukan buat saya terutama apabila saya sudah semakin serius menjalankan perniagaan salun kecantikan, Chinta Salon ketika ini. Kami banyak berbincang dan berkongsi pendapat tidak sekadar soal peribadi, namun dalam pelbagai perkara.



“Paling penting, dia menerima setiap kekurangan dan kelebihan saya seadanya,” katanya yang tidak pernah memikirkan soal status Rizal sebagai duda seorang anak, Putera Rayqal Ramli yang kini berusia tiga tahun.

Rizal pernah melamar Fasha pada pertengahan tahun lalu, namun ditolak dengan baik kerana ketika itu wanita jelita kelahiran Johor Bahru itu sedang sibuk mengukuhkan empayar perniagaannya.

Kali kedua tokoh usahawan berjaya itu sekali lagi meletakkan impian dengan melamar Fasha pada awal tahun ini dalam kereta selepas pulang makan malam dan ketika itu mengundang rasa yakin kepada Fasha untuk menerimanya.

Tambah bintang popular berusia 28 tahun ini lagi, apa yang penting ketika ini adalah keserasian dan persefahaman antara mereka untuk mencorak rumah tangga bersama nanti.

“Soal hilang populariti atau peminat akan mula meninggalkan saya selepas berkahwin adalah persepsi lama. Peminat sudah bijak dan tidak lagi menilai seseorang artis kegemaran mereka berdasarkan peribadi atau personaliti, sebaliknya hanya meletakkan bakat lakonan sebagai faktor utama. Saya percaya mereka akan setia menyokong dan turut berkongsi bahagia dengan kegembiraan saya ini.

“Alhamdulillah, Rizal seorang yang memahami dan sentiasa menyokong kerana dia tidak kisah untuk saya terus aktif berlakon. Cuma sebagai seorang isteri, saya akan lebih selektif memilih tawaran. Saya ingin menjadi pasangan hidup yang sentiasa punya masa dan ruang buat suami walaupun terikat dengan status selebriti.

“Cuma selepas ini saya akan pergi ke kursus memasak untuk menambah lagi ilmu dalam menyediakan makanan buat suami. Lagipun Rizal seorang yang kuat makan dan ingin jika kelapangan saya sendiri yang menyediakan juadah buatnya.

“Soal anak saya serahkan pada takdir dan rezeki. Jika kami diberikan awal, sudah tentu kami terima dengan penuh rasa syukur kerana Rizal mahukan anak secepat mungkin. Saya pula sudah sedia untuk menjadi seorang ibu dan melalui pengalaman mengandung itu.

“Mulai hari ini, semuanya berubah dan saya pasti akan menikmati setiap saat yang berlalu sebagai seorang isteri kepada cinta hati saya,” katanya yang mengakui akan ke Pulau Redang untuk berbulan madu.

Pasangan yang akan mula tinggal bersama di kediaman baru Rizal di Ampang akan sekali lagi diraikan dalam majlis persandingan sebelah pengantin perempuan pada 27 Mei depan di Taman Tasik Timah Tasoh, Kangar, Perlis.

No comments:

Post a Comment