Friday, April 27, 2012

Jamal rindu kehidupan lalu - cinta

BUKAN tidak bersyukur kehidupannya kini jauh lebih baik daripada masa lampaunya dalam semua aspek, namun ada sesuatu yang kosong. Kekosongan itu dirasakan setiap kali bersujud di atas bentangan sejadah. Air matanya tidak lagi mampu mengalir seperti mana dulu dia berasa dirinya teramat kecil dan hina.

“Saya bersyukur diri saya sudah pulih sepenuhnya dan tidak lagi bermasalah. Cuma setiap kali solat saya sudah tidak dapat ‘feel’ yang macam dulu atau khusyuk ketika menyerah diri pada Yang Maha Esa. 

“Mungkin masa itu saya terasa hina, membuat saya menangis terisak-isak. Kerdil sungguh ketika itu saya rasakan dan kepada-Nya saya selalu memohon agar bimbinglah diri saya dan ubati masalah saya.

“Sekarang ini kalau bersolat, sudah tidak dapat ‘feel’ itu lagi. Tengah sembahyang tiba-tiba teringat ‘cek’ dah masuk akaun ke belum atau kereta sudah berkunci ke tidak. Saya tak boleh khusyuk macam dulu dan saya benci bila saya begini.

“Saya mahukan kehidupan sihat saya ini berjalan seiring dengan ibadah saya kerana khusyuk dalam bersolat itu adalah satu nikmat,” katanya dalam satu pertemuan di Hotel Istana, Jumaat lalu.

Hampir 45 minit menemu bual Raja Pop yang terkenal menerusi rangkaian lagu hit seperti Azura, Gadis Melayu dan Penghujung Rindu, banyak sisi menarik ditemui dalam diri figura itu. Salah satunya, kemampuannya bertahan selama 33 tahun.

Meskipun kisah masa silam pernah menggugat karier seninya namun Jamal tetap diminati ramai. Buktinya nama Jamal antara yang berada di tangga teratas dalam ‘senarai’ penganjur persembahan.

Sememangnya, gemersik vokal jantan miliknya tiada galang ganti dan ia menjadi sebutan sejak menjuarai Bintang RTM 1979 dan karisma yang dianugerahkan Ilahi itu menjadi aset paling berharga yang meneruskan legasi Jamal di pentas seni.

Di sebalik namanya yang terus menjadi rebutan, timbul pula dakwaan kononnya Jamal tidak pandai menjaga ‘eksklusiviti’ atau erti kata lain ‘tamak’.

Untuk tahun ini saja Jamal terbabit dalam dua persembahan Hari Ibu, salah satunya Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei (Ahad) 2012, jam 8 malam. Selang beberapa minggu dari tarikh berkenaan, Jamal bakal menggegarkan pentas Hari Ibu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur (KL).

Persiapan yang dilakukan penghibur kelahiran Teluk Intan, Perak, itu, tidak terbatas pada Hari Ibu saja malah, Minggu Setiausaha juga Konsert Legenda yang membabitkan tiga lagi figura tersohor, Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Zainal Abidin yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Saya bukan tamak dengan mengambil semua persembahan. Majlis Hari Ibu misalnya, saya ditawarkan tiga tempat sekitar KL saja, tetapi cuma satu yang diambil. Saya tidak ambil sebarang persembahan melainkan terima tawaran dengan kontrak yang eksklusif saja.

“Sebenarnya, sukar untuk saya menolak tawaran sebegini kerana penganjur membayar dengan harga sangat tinggi. Tentunya satu penghargaan kerana dalam lambakan wajah baru, saya masih menjadi pilihan mereka.

“Kalau ada yang beranggapan, mengambil dua persembahan berkonsepkan tema yang sama boleh menjejaskan jualan tiket salah satu persembahan, itu saya kurang setuju.

“Lagipun saya percaya strategi promosi yang dilakukan penganjur antara faktor utama menyumbang kejayaan sesebuah persembahan.

“Tidak boleh menggunakan nama artis saja kerana pernah dulu saya menjayakan persembahan membabitkan Amy Search, Ramli Sarip dan Mawi, yang datang cuma 200 orang,” katanya.

Jamal menambah, selagi ada permintaan tidak seharusnya dia melepaskan peluang kerana suatu ketika dulu dia banyak menolak peluang.

“Dulu saya jarang terima undangan persembahan kerana tidak berani membuat kemunculan di khalayak ramai kerana berasa malu dengan diri sendiri walhal permintaan sangat tinggi ketika itu. Namun, apapun sejarah silam saya, peminat tetap mahukan saya jadi mengapa tidak saya memanfaatkan peluang itu sekarang, sekali gus menebus kekhilafan,” katanya.

Mahu menerapkan unsur kasih sayang dalam persembahan Hari Ibu nanti, bapa kepada Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki, 6 tahun itu tidak pernah meletakkan noktah dalam perjuangannya.

Sempena hari istimewa berkenaan khususnya di SACC, Jamal juga akan beraksi sambil bermain gitar. Dia mempunyai perancangan memasuki kelas muzik untuk mendalami ilmu gitar dan piano secara profesional.

“Memasuki kelas muzik, antara inisiatif saya untuk terus relevan berada dalam industri muzik. Saya tidak mahu peminat bosan mendengar saya menyanyi saja,” katanya.

Persembahan Hari Ibu ini turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ibnor Riza selaku artis undangan dan Ifa Raziah sebagai pengacara majlis. Tiket berharga RM250, RM350 & RM500.

No comments:

Post a Comment