Monday, April 23, 2012

Irama dakwah dua bintang Siti dan sami - cinta

SAMI dan Siti merakamkan lagu You Came To Me dalam tiga bahasa.


SABTU lalu, Studio Harem milik penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman meriah dengan kehadiran rombongan penyanyi terkenal lagu ketuhanan dari United Kingdom, Sami Yusuf, yang memilih merakamkan dendangan terbarunya di situ. 

Lebih istimewa, penghibur yang mendapat gelaran Rockstar Muzik Islam itu tidak keseorangan, sebaliknya berpadu suara dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, bagi lagu berjudul You Came To Me untuk dimuatkan dalam album keempatnya.
Seperti dikongsi pada sidang media pengumuman bersempena Konsert Salaam Sami Yusuf di Stadium Malawati, Shah Alam, yang akan berlangsung pada 14 Julai ini, beberapa hari lalu, sejak mendengar lagu Siti tatkala kunjungan sulung ke Kuala Lumpur sekitar 2005 membuatkannya menanam hasrat berpadu suara bersama wanita itu.
Walaupun terpaksa menunggu lama untuk merealisasikan hasratnya, kehadiran kali ini dirasakan cukup bererti apabila berpeluang mendekati peminat dalam skala persembahan mega kelolaan Offshore Entertainment Productions, malah lebih manis dapat berduet dengan Siti dalam album dan di pentas. 

“Bagi saya, beliau seorang yang cukup berbakat besar. Vokalnya cukup unik selain mempunyai peribadi yang begitu merendah diri. Tidak hairan namanya tetap mengharum hingga kini. Saya gembira apabila Siti menerima pelawaan ini,” katanya ketika ditemui selepas rakaman. 

Walaupun diserang demam lima hari sebelum itu, Siti yang mengambil suntikan semata-mata untuk sembuh dalam kadar segera mengakui berdebar untuk masuk studio bersama Sami, namun mengakui sudah melakukan persediaan mental dan fizikal. 

“Pihak Sami mempelawa saya berduet untuk lagu ciptaannya sendiri itu kira-kira dua bulan lalu. 
Saya sendiri mengagumi dendangannya yang berunsur kerohanian dan kemanusiaan sejak dulu. Jadi saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. 

“Cuma dalam tempoh seminggu lalu, saya demam. Bimbang juga jika masalah kesihatan ini boleh mengganggu proses rakaman, apatah lagi Sami datang dari jauh. 

Setahu saya, Sami juga seorang yang teliti. Syukurlah kesihatan saya bertambah bagus hari ini,” katanya. 

Membawakan lagu berkenaan dalam tiga versi iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab, penerima Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, memaklumkan ia bukan masalah. 

“Saya menyukai melodi dan lirik You Came To Me yang cukup indah. Mesej ini dapat disampaikan lebih meluas dengan penyampaian tiga bahasa. Malah untuk lenggok Arab, saya rasa tiada masalah kerana mempunyai guru yang bagus,” ulas Siti lagi melirik ke arah Sami sambil tersenyum. 

Sememangnya kedua-dua penyanyi tersohor ini cukup mementingkan kesempurnaan. Sebelum rakaman bermula, masingmasing saling berbincang, malah Siti turut meminta tunjuk ajar bintang berusia 31 tahun itu membawakan lagu terbabit dalam lenggok Arab. 

Bukan hanya wakil media tempatan, difahamkan beberapa wartawan dan jurugambar dari Singapura juga didatangkan khas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis pengumuman konsert serta rakaman lagu duet Sami dan Siti. 

Sementara itu, bagi Sami yang lebih dulu menghiburkan peminat Kota Singa di Stadium Tertutup Singapura, 8 Julai nanti, harapannya hanya satu iaitu menyatukan seluruh masyarakat tanpa sebarang jurang yang berkongsi udara serta langit yang sama. 

Terdahulu, komposer dan penerbit kelahiran Tehran yang dibesarkan di London ini mula mencipta nama menerusi album sulung Al-Mu'allim pada 2003, malah jualan setiap albumnya mencecah jutaan keping. Selain anugerah, konsertnya di seluruh pelosok dunia meraih kehadiran luar biasa.

No comments:

Post a Comment