Sunday, April 29, 2012

Dira Pengacara Melodi Dipijak Kepala - Cinta

INSIDEN pijak kepala di pusat hiburan terkemuka dan cuba bunuh diri dengan minum bahan peluntur yang hangat diperkatakan sejak beberapa minggu lalu, berjaya ‘menghangatkan’ nama pelakon dan pengacara Melodi, Dira Abu Zahar.

Ramai menuding jari kepadanya walaupun Dira menafikan perkara itu kerana masyarakat percaya segala spekulasi itu apabila kerjayanya sebagai pengacara Melodi menjadi mangsa. Dira direhatkan dari mengendalikan program popular itu sejak 8 April lalu. 

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran desas-desus itu? Sepanjang mengenali figura ini, dia tahan lasak, berjiwa kental dan tidak mudah tunduk dengan kegagalan. Wujud kesangsian dia tergamak melakukan kerja ‘bodoh’ itu semata-mata tertekan dengan liputan meluas kontroversi yang menjejaskan nama baiknya.

Ketika hadir menjayakan sesi fotografi bersama SELEBRITI, wanita sempoi ini cukup tenang bahkan tiada tanda-tanda dia mengalami tekanan. Malah ketika diajak berbual dari hati ke hati, penggemar motosikal berkuasa besar ini yang juga isteri pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof, masih sempat berjenaka.



Katanya, hampir lima tahun berada dalam industri jarang ceritanya diperkatakan. Namun disebabkan kisah satu malam itu, dia tiba-tiba popular.

“Sebelum ini hanya kisah perceraian saya dengan bekas suami diperkatakan. Itupun sekejap saja. Selebihnya, saya tidak ada kontroversi. Saya bekerja siang malam tetapi masih ada yang belum kenal saya tetapi kerana kontroversi ini, nama saya terus jadi panas. Bagus juga dari orang tak kenal, terus kenal.

“Sebenarnya, saya sendiri terkejut apabila mengetahui cerita pergaduhan itu sudah tersebar luas. Orang pertama yang saya hubungi adalah abang saya. Suami yang berada di Bangkok atas urusan kerja mengirimkan SMS untuk mengetahui cerita sebenar. Dia yang sudah faham dengan sepak terajang industri hiburan tanah air, minta saya bertenang dan biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya melihat dugaan ini dari sudut positif. Tidak guna melatah atau melenting kerana ia hanya akan burukkan lagi keadaan. Biarlah orang mahu fikir atau cakap apa saja. Lagipun benda sudah berlaku, saya tidak boleh tutup mulut orang daripada terus bercakap. Apabila penat, mereka akan berhenti dan keadaan akan reda dengan sendirinya.

“Saya tidak boleh ulas panjang cerita ini kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa dan biarlah mereka jalankan tugas. Apa yang boleh saya katakan, saya mangsa keadaan dan yakin kebenaran akan terungkap selepas siasatan selesai,” katanya.

Mengenai cerita dia minum bahan peluntur, sambil ketawa Dira menjelaskan memang benar dia bermalam di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini tetapi bukan kerana dakwaan itu sebaliknya masalah tekanan darah rendah dan serangan gastrik yang teruk.

“Saya muntah hingga lembik. Bimbang dengan keadaan saya, ibu mendesak saya bermalam di hospital. Peluang sebegini memang dinanti-nantikan ibu untuk memastikan saya dapat berehat. Sebelum ini, jika demam beberapa kali juga dia minta doktor tahan saya di hospital kerana dia tahu jika saya dibenarkan pulang ke rumah, saya akan keluar bekerja.

“Hairan, macam mana boleh timbul cerita saya minum bahan peluntur. Saya masih waras, takkan saya buat perkara yang terang-terangan ditegah agama. Jadi tak payahlah tokok tambah cerita,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Akui Dira, kontroversi yang merantai namanya itu langsung tidak menjadi kudis bahkan dia akan terus berada dalam industri selagi diperlukan. Andai rezekinya berkurangan selepas ini, dia reda sementelah memang ada hasrat untuk memperlahankan aktiviti seni.

Katanya, dia mahu tumpukan perhatian terhadap suami dan puteri tunggalnya, Tengku Anggun Deandra, 5, serta syarikat produksinya, Hyper Pictures Sdn Bhd serta bisnes permotoran, Red Garage.

“Empat tahun lepas, saya banyak terlepas momen penting dengan Anggun kerana sibuk dengan komitmen di lokasi penggambaran. Tidak lama lagi Anggun akan masuk sekolah rendah. Jadi sebagai ibu, saya mahu habiskan lebih banyak masa dengannya.

“Saya juga baru mendirikan rumah tangga, jadi kenalah ada lebih masa untuk suami. Kebetulan pula kami baru berpindah rumah, bolehlah saya fokuskan perhatian menghias rumah baru.

“Sebelum ini, saya jarang dapat ruang berehat. Lepas satu, satu penggambaran dan kerana itu saya putuskan jika ada tawaran selepas ini, saya akan berehat sekejap untuk luangkan masa dengan famili dan kemudian barulah kembali ke lokasi,” katanya.

Rutin harian Dira juga terisi dengan kuliah apabila bergelar pelajar sarjana Digital Filem dan TV di Universiti LimKokWing sejak empat minggu lalu. Ikut perancangan asal, lulusan Ijazah Perundangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mahu menyambung pengajian di Los Angeles selepas perkahwinan pertamanya berakhir.

Namun tawaran mengacarakan program Melodi terbitan TV3 dan kembali mendirikan rumah tangga membantutkan hasrat itu. Minggu pertama menghadiri kuliah dan memenuhi tuntutan tugasan yang diberikan pensyarah, akui Dira, terasa janggal tetapi keseronokan bergelar pelajar kian terasa. Malah dia sangat teruja bergaul dengan rakan sekelas yang datang dari pelbagai negara. 

Pelacur hati kering

Menyingkap sisi kariernya, aktres manis yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Cinta Dalam Hati bersama aktor popular, Remy Ishak ini berdebar menanti tayangan tiga filem lakonannya yang akan menemui penonton tahun ini iaitu Chow Kit, Untuk Tiga Hari dan Ngorat.

Paling hampir, tayangan Chow Kit akan bermula 3 Mei ini di mana Dira melakonkan watak Salina, tukang urut batin yang dulunya pernah melacur. Meskipun genre berat bukan asing baginya apatah lagi sebelum ini pernah menjayakan watak pelacur, cabaran kali ini disifatkan berbeza kerana ia untuk tayangan layar lebar yang menuntut kesempurnaan dari aspek persembahan.

Dalam filem ini, Dira perlu meletakkan dirinya sebagai insan yang membesar di lokasi hitam yang pernah menjadi nadi Kuala Lumpur.

“Membesar di lorong gelap menjadikan Salina berhati kering. Pengalaman hitam yang dilaluinya membuatkan jiwanya beku sehinggakan apabila temannya dirogol, dia menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.

“Jujur, wujud tekanan apabila menjayakan watak ini lebih-lebih lagi ada beberapa babak yang agak mengghairahkan. Lakonan di layar perak lebih ekstrim berbanding di TV. Segala kesilapan biarpun kecil, penonton akan nampak jadi kena buat betul-betul.

“Bagaimanapun saya bertuah kerana semua yang terbabit dalam penggambaran ini saling memahami dan membantu. Apabila ada babak yang menuntut fokus yang lebih, mereka akan biarkan saya bersendirian agar mood tidak terganggu,” katanya.

Tambahnya, pengalaman bergaul dengan penghuni lorong gelap membuka matanya terhadap banyak perkara bahkan wujud kesedaran dalam diri untuk lebih bersyukur kerana mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Naluri keibuannya tersentuh setiap kali melihat anak-anak lorong yang berkeliaran dan bermain di kawasan yang menyimpan 1001 cerita itu. Biarpun serba kekurangan, mereka tabah melalui keadaan itu dan berjiwa kental.

“Sepanjang tiga minggu berkampung di Chow Kit, saya dapat melihat macam-macam senario kehidupan. Paling menangkap perhatian, anak-anak yang membesar di lorong. Dari kecil mereka sudah biasa melihat dan terdedah dengan senario tidak sihat. Kasihan melihat mereka ini berkeliaran di tempat yang tidak bagus untuk pembesaran.

“Biarpun sedih jauh di sudut hati saya menghormati dan berasa sangat kagum dengan ketabahan mereka. Bayangkanlah hidup dalam rumah kecil, persekitaran yang tidak bersih dan berbau busuk serta ada yang terpaksa duduk di luar rumah sementara menunggu ibu melayan pelanggan, semua itu membuatkan hati saya tersentuh.

“Apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah realiti dan saya berharap ia dapat membuka mata masyarakat supaya lebih prihatin dengan nasib mereka yang menghuni lorong gelap Chow Kit,” katanya yang turut berkongsi suaminya akan mengarah filem sulung bergenre aksi komedi yang digarap daripada pengalaman menyertai konvoi bermotosikal ke Pattaya, Thailand sebelum ini.

No comments:

Post a Comment