Thursday, April 26, 2012

Achong Sweet Child bertunang - cinta

SUDAH sembilan tahun artis serba boleh, Achong Sweet Child menduda. Tidak terdengar langsung ura-ura penyanyi bernama Ahmad Fauzi Manat, 39, yang popular menerusi lagu Yang Terlarang Itu Godaan dan Mainan Perkasihanmu akan kembali mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, perkenalannya dengan Siti Zuraida Zahari atau Marya Zuraida, 31, seorang pramugari AirAsia sejak dua tahun lalu mengubah segalanya. Yakin dan pasti mengenai jodoh yang ditakdirkan, pasangan ini akhirnya membuat keputusan bertunang pada 14 April lalu sempena ulang tahun kelahiran Marya. 

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Marya anak sulung daripada tiga beradik. Dia berasal dari Pulau Pinang, tapi ibunya kini menetap di Kedah. Kami bertunang di Bandar Mutiara, Sungai Petani pada majlis serba sederhana dalam rombongan yang disertai ibu saya, Hajah Hanipah Udek.

“Majlis merisik dan bertunang serentak ini menyaksikan saya menghantar lima hantaran berbalas tujuh daripada pihak Marya. Insya-Allah kami tak mahu tunggu lama kerana merancang untuk berkahwin pada Disember ini. Tarikhnya belum dipastikan, tapi tetap akan dilangsungkan pada bulan itu.

“Majlis akad nikah dan kenduri di sebelah Marya dibuat secara sederhana dan selepas itu, kami mahu mengadakan resepsi perkahwinan untuk rakan artis dan pihak media secara besar-besaran di Dewan Komuniti Damansara,” katanya dalam nada teruja.

Cerita Achong, perkenalan mereka sangat istimewa kerana Marya sebenarnya peminat Sweet Child dan pernah bertemunya pada zaman remaja. Ketika itu, Achong bersama Sweet Child mempromosikan album di sebuah kompleks beli-belah di Kuantan, Pahang.

“Sebelum ini, bapa Marya bekerja di sebuah jabatan kerajaan dan sering berpindah-randah. Marya hadir ke kompleks itu bersama rakan sekolahnya dan saya mempelawanya menjual album Sweet Child. Saya terkejut apabila dia menghantar pesanan dalam inbox facebook bercerita kisah lalu.

“Dari situ saya rancang bertemunya, tapi sering tak kesampaian kerana tugasnya yang tak menentu masa.

Selepas beberapa bulan, barulah kami berpeluang berjumpa. Niat saya awalnya memang sekadar nak berkawan kerana mana tahu kalau gambarnya dalam facebook lain dan di luar lain.

“Selepas keluar bersama, saya tengok sikapnya sangat menyenangkan. Kalau dia sedang cuti, dia akan ikut saya dan sering menasihatkan saya terutama apabila melayan peminat. Mungkin pada saya, saya sudah melayan mereka dengan baik, tapi pandangannya pula berlainan. Boleh dikatakan dia sering menjaga penampilan saya.

“Sebenarnya Marya juga ada berlakon, tapi kurang menonjol kerana terpaksa membahagi tugas dengan karier tetapnya. Dia banyak berlakon drama arahan Jamal Khan.

Selepas mencapai persetujuan, kami pilih bertunang pada tarikh ulang tahun Marya sebagai hadiah istimewa buatnya.

“Sebelum ini saya pernah berkawan dengan beberapa wanita tapi pelbagai dugaan berlaku sehingga hubungan terputus di tengah jalan. Alhamdulillah, saya dapat rasa ada persefahaman dengan Marya dan nekad memilihnya sebagai isteri. Tambahan pula, keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan ini,” katanya.

Tambah istimewa, berita gembira menanti Achong apabila karier seninya semakin berkembang. Selepas bertanding dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) bersama Joey menggunakan nama Anje, dia sering diundang menjadi pengacara majlis dan berlawak.

“Alhamdulillah penampilan saya sebagai pelawak undangan bersama Jambu juga banyak membantu. Tawaran berlakon juga tak kurangnya dan awal Mei ini, saya akan menjalani penggambaran drama 13 episod terbitan Bintang Emas berjudul Lagenda Langkawi di Langkawi.

“Saya anggap ini rezeki menjelang hari perkahwinan saya kerana masa untuk menuju hari bahagia itu sudah tak lama sebenarnya,” katanya yang tanpa dirancang mengikut jejak rakan baiknya, Joey yang berkahwin dengan Watie Elite, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment