Monday, April 9, 2012

ABPBH 2011 - Fizz Fairuz Hadiah Kemenangan Untuk Arwah Ayah - Cinta

"Saya rasa kerdil, saya rasa kecil. Saya tak pernah sangka saya akan menang trofi ini. Saya memang terkejut dan memang saya tak tahu nak cakap apa saat nama saya diumumkan ".

Begitulah kata-kata yang terpacul dari mulut pelakon Fizz Fairuz ketika ditemubual Gua bertanyakan perasaan pelakon ini selepas berjaya memenangi Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, (ABPBH) 2011 malam tadi.

" Terima kasih kepada semua peminat yang undi saya. Saya doakan anda semua murah rezeki. Selepas 10 tahun saya dalam industri, saya dapat anugerah ini. Alhamdulillah. Saya tujukan kemenangan ini buat mak saya, dan juga arwah ayah saya ", ujar Fizz dalam nada sebak.

" Abang Rosyam Nor sendiri cakap dengan saya, bila dapat anugerah ini bukan tanggungjawab yang kecil sebaliknya menuntut saya untuk beri yang lebih baik lagi. Saya sangat hargai pemberian ini dan ianya memotivasikan saya untuk berusaha memberikan yang terbaik kepada peminat di luar sana ".

Pelakon yang berasal dari Raub, Pahang ini juga mengakui sesi jelajah ABPBH bersama peminat membawanya lebih dekat dengan mereka. Fizz memberitahu ada tika beliau diasak pelbagai persoalan yang hampir mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

"Ada orang cakap dengan saya, zaman saya dah tamat. Saya pun ada terfikir bolehkah saya bertahan dalam industri ini. Alhamdulillah, saya masih kuat untuk teruskan bidang ini dan Tuhan beri saya rezeki malam ini ".

Fizz turut memberitahu beliau cukup terharu apabila Aaron Aziz turut sama ke pentas sewaktu pemberian anugerah Pelakon TV Lelaki Popular itu. " Aaron Aziz 'best friend' saya. Jadi bila dia naik dan peluk saya lepas saya menang, saya rasa sangat tersentuh".

GUA ucapkan tahniah pada Fizz dan semoga Fizz dapat terus memberikan yang terbaik dalam dunia lakonan tanahair.

No comments:

Post a Comment